Mereka yang disenaraikan itu adalah anak tempatan berkelulusan dalam pelbagai bidang, antaranya bekas pensyarah, aktivis dan anggota biasa parti.
Setiausaha Badan Perhubungan PAS Pahang, Roslan Zainal (gambar) berkata mereka yang tersenarai itu dilihat berpotensi untuk menang, selain muda dan berkarisma untuk menjadi calon dan wakil rakyat di kawasan berkenaan.
"Nama-nama berkenaan telah diputuskan pada mesyuarat khas PAS Kawasan Kerdau pada Isnin lepas, senarai itu akan dihantar kepada pucuk pimpinan parti," katanya kepada Bernama di sini, Rabu.
Beliau berkata, PAS tidak mempunyai masalah dalam memilih calon kerana ramai yang berkelayakan dan berkelulusan tinggi.
"Berdasarkan perkembangan politik semasa serta penambahan pengundi baru, PAS yakin akan dapat memenangi pilihan raya kecil itu nanti sekalipun kerusi DUN Kerdau merupakan kawasan kubu kuat Barisan Nasional (BN)," katanya.
Kerusi DUN kawasan Kerdau kosong berikutan kematian wakil rakyatnya Datuk Zaharuddin Abu Kassim, 63 akibat serangan jantung pada Sabtu lepas.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagaimanapun masih belum memutuskan tarikh pilihan raya kecil di kawasan berkenaan.
Pada pilihan raya umum 2008, Zaharuddin menewaskan calon PAS Hassanuddin Salim dengan majoriti 1,615 undi.
KUALA LUMPUR, 15 Feb — Susulan tsunami politik 2008, barisan prorakyat dan Pakatan Rakyat perlu membentuk perikatan kolektif untuk menggantikan Barisan Nasional (BN), sekali gus mewujudkan kerajaan pusat yang propembaharuan, kata pengendali blog Malaysia Today Raja Petra Kamaruddin.
Sehubungan itu, penulis terkenal tersebut yang kini berada di luar negara berkata, usaha ke arah itu perlu bermula di Sabah dan Sarawak.
Beliau mengetengahkan pandangan ini ketika Sarawak bersedia ke arah mengadakan pilihan raya negeri manakala pilihan raya umum disebut-sebut akan diadakan tahun ini.
Kata Raja Kamaruddin (gambar), impian itu tidak boleh dicapai oleh Pakatan Rakyat semata-mata, yang terdiri daripada tiga parti politik, yang berganding ketika pilihan raya umum 2008.
Gandingan itu membawa kepada kemenangan menafikan majoriti dua pertiga tradisi BN di Parlimen dan kehilangan kuasa kerajaan negeri di Kelantan, Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor.
“Secara realistik, Pakatan Rakyat sendiri tidak boleh lakukan perkara ini. Hakikatnya, tiada parti politik tunggal yang boleh lakukan yang ini.
“Apa yang diperlukan ialah usaha kolektif kesemua (pihak) yang prorakyat, parti-parti propembaharuan politik bekerjasama dengan Third Force, yang terdiri daripada NGO yang berorientasikan pembaharuan dan juga rakyat yang sudah pun bekerja ke arah perubahan,” katanya.
Pada 12 Disember lalu, Gerakan Kebebasan Sivil Malaysia (MCLM), kata Raja Petra, telah melancakan inisiatif menawarkan calon bebas Barisan Rakyat.
“Sehingga kini butiran empat calon bebas telah pun diumumkan. Dan, kami berhasrat untuk menawarkan 30 nama bagi pilihan raya umum ke-13.
“Sabah, Sarawak dan Labuan ada 57 kerusi di Parlimen. Sebagaimana saya katakan dalam atikel sebelum ini, Sabah dan Sarawak adalah krtikal untuk mempunyai peluang membentuk kerjasama pembaharuan di Putrajaya susulan pilihan raya umum ke-13,” kata beliau dalam rencana diterbitkan menerusi Free Malaysia Today.
MCLM, kata Raja Petra, bekerja rapat dengan Parti Kebangsaan Sarawak (Snap) di Sarawak dan Barisan Borneo Bersatu (UBF) di Sabah dalam usaha membina satu perikatan di kedua-dua negeri berkenaan.
“Kami berharap dalam beberapa hari lagi kami akan mengumumkan pembentukan perikatan ini,” katanya lagi.
Ketiga-tiga pihak berkenaan akan mengadakan sidang media di ibu negara esok.
Raja Petra menulis, sekiranya perikatan Snap-UBF-MCLM dapat dibentuk, MCLM berharap untuk mewujudkan “perikatan susulan” dengan parti-parti bukan BN di Sabah, Sarawak dan Semenanjung.
“... dengan satu objektif dalam fikiran: mewujudkan pakatan untuk menggantikan BN dalam pilihan raya umum akan datang dan mengadakan kerajaan persekutuan propembaharuan di Putrajaya,” katanya.
Oleh itu kata beliau, “diharapkan dengan perikatan-perikatan ini diadakan, pertarungan satu lawan satu dapat diadakan dalam pilihan raya umum ke-13.”
“Sebarang pertandingan tiga pihak adalah tindakan dilakukan BN sendiri,” katanya lagi.
Dalam temu bual dengan The Malaysian Insider, dua pemimpin PKR, salah satu komponen Pakatan Rakyat berkata, hanya akan mempertimbangkan calon-calon daripada kumpulan bukan Pakatan Rakyat (PR) sekiranya mereka bersedia menerima dasar-dasar perikatan itu.
Timbalan presidennya Azmin Ali berkata, PKR terbuka kepada calon-calon yang dinamakan oleh pelbagai pertubuhan seperti MCLM, malah malah sedia memberi Parti Sosialis Malaysia (PSM) lebih banyak kerusi jika mereka bersedia untuk menerima arahan whip perikatan.
“Kita boleh berbincang dengan mereka. Tetapi jika mereka masih mahu menjadi bebas, apa gunanya?” kata Azmin yang juga Ahli Parlimen Gombak ketika ditanya mengenai kesediaan MCLM menawarkan seramai 30 calon kepada PKR bertanding pada pilihan raya umum akan datang.
Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli juga mengakui pihaknya mengambil sikap waspada dalam menerima calon-calon yang ditawarkan oleh MCLM kerana mahu mengelakkan ‘kesilapan’ yang dialami tiga tahun lalu ketika menghadapi pilihan raya umum ke-12.
Menurut Rafizi, sementara partinya “terbuka” kepada tawaran MCLM dan menerima kritikan pergerakan itu terhadap partinya, komponen Pakatan Rakyat itu akan membuat pilihan sendiri dan akan memilih ahli-ahlinya yang ada pengalaman selaku pemimpin akar umbi.
