Sibuk ajar kerajaan isu Taiwan, AMK suruh Pas bahas dulu RCI Tabung Haji

 



Pas disindir supaya tidak terlalu ghairah mengajar kerajaan mengenai konflik China-Taiwan dan dasar luar negara, sebaliknya memberi perhatian kepada persoalan yang lebih dekat dengan umat Islam iaitu isu Tabung Haji.

Dalam satu respon di Facebook, Ketua Penerangan AMK, Danish Hairudin mempersoalkan pendirian Pas terhadap Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji yang antara lain mendedahkan kelemahan tadbir urus, campur tangan politik serta keputusan berkaitan hibah, bayaran haji dan Bantuan Kewangan Haji.

Danish berkata Pas sepatutnya terlebih dahulu membahaskan persoalan berkaitan Tabung Haji sebelum tampil memberi pandangan mengenai hubungan Malaysia dengan Beijing dan Taipei.

“Saya cadangkan Pas jangan pergi terlalu jauh dahulu. Sebelum sibuk bahas Taiwan, lebih baik Pas bahas Tabung Haji.

“Sebelum Pas mahu menjadi pakar geopolitik dan mengajar kerajaan tentang Beijing dan Taipei, bahas dahulu persoalan yang lebih dekat dengan umat Islam,” katanya.

Danish membangkitkan beberapa perkara dalam laporan RCI termasuk isu pelaburan yang dipersoalkan serta kerugian 100 peratus dalam beberapa pelaburan.

Sindiran itu hadir ketika Pas berdepan persoalan mengenai tahap penglibatannya dalam isu RCI Tabung Haji, khususnya selepas sebahagian besar Ahli Parlimen blok pembangkang meninggalkan Dewan Rakyat ketika Sidang Khas membincangkan laporan berkenaan pada 11 Ogos lalu.

Persoalan mengenai pendirian Pas dalam isu berkenaan turut menjadi perhatian susulan hubungan politik Pas dan Barisan Nasional (BN) yang dilihat semakin rapat. 

Pas sebelum ini antara pihak yang paling lantang membangkitkan isu Tabung Haji ketika era PH1.0, malah pernah menuduh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) ketika itu kononnya telah menjual aset TH kepada syarikat bukan Islam. 

Namun selepas Laporan RCI didedahkan, dakwaan yang pernah dilaungkan sebelum ini seakan tidak lagi kedengaran.

Tiada pula kelantangan yang sama untuk mempersoalkan pihak yang mentadbir Tabung Haji ketika tempoh yang disiasat RCI, iaitu ketika pentadbiran BN.



No comments: