KEMBALIKAN DUIT RAMPASAN KEPADA RAKYAT



 Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan hasrat untuk mengembalikan dana awam yang ‘dirompak’ akibat kegiatan rasuah kepada rakyat, termasuk pelajar, mahasiswa dan institusi pendidikan sekiranya beliau terus diberikan amanah sebagai Perdana Menteri.





Menurut Anwar, pembanterasan rasuah dan penyalahgunaan kuasa sejak awal bukan sahaja penting untuk tadbir urus negara, malah mampu menyelamatkan negara daripada menanggung kerugian besar.


“Kalau kita boleh jimat daripada dua badan ini (merujuk kepada kerugian yang ditanggung oleh Tabung Haji dan Felda) sebanyak RM20 bilion ringgit, dia (wang itu) bukan untuk saya. Dia bukan juga untuk projek negara.


“Tetapi, kalau saya terus diberi amanah selepas ini (sebagai Perdana Menteri), jumlah yang berjaya dijimatkan itu saya nak pulangkan balik kepada pelajar dan mahasiswa dan rakyat dan institusi,” katanya.


Kenyataan itu dibuat ketika beliau berucap pada program Ambang Merdeka Sahabat Madani Pulau Pinang di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Permatang Pauh.


Terdahulu, Anwar memaklumkan Tabung Haji pernah mengalami kerugian sehingga RM12 bilion akibat kelemahan pengurusan dan tadbir urus, manakala Felda pula merekodkan kerugian sebanyak RM10 bilion.


Dalam pada itu, Anwar turut mengajak anak-anak muda supaya berbangga dengan Malaysia dan melihat negara ini sebagai sebuah negara yang hebat serta semakin mendapat perhatian dunia.


“Saya yakin, di umur sekarang ini, (menjadi) datuk kepada anak-anak, saya hanya bercita-cita untuk menjamin negara ini kekal stabil politiknya dan aman selain mahu mengajak rakyat, terutama anak-anak muda, ‘tumbuh’ untuk membangunkan bangsa kita.


“Tetapi, jika kita terus menghina antara satu sama lain serta sentiasa memainkan isu perkauman dan agama, maka, kita tidak akan mampu untuk membangunkan negara ini,” tegas beliau.


Sumber: Utusan Malaysia


#AnwarIbrahim #PerdanaMenteri #KerajaanMadani #PakatanHarapan




No comments: