
KPDN menahan seorang lelaki warga tempatan dalam satu operasi di Gemenceh, Negeri Sembilan pada 26 Disember 2025.
TAMPIN, 27 Dis – Bolehkah kita menggunakan MyKad orang lain untuk membeli petrol RON95 tanpa pengetahuannya walaupun menggunakan wang sendiri?
Situasi ini terjawab apabila seorang lelaki warga tempatan ditahan selepas disyaki menggunakan MyKad milik orang lain bagi menebus bantuan program Budi Madani RON95 (Budi95) di sebuah stesen minyak di Gemencheh, dekat sini, semalam.
Bahagian Penguatkuasaan (BSK) Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Putrajaya dalam satu kenyataan memaklumkan, tangkapan dibuat susulan aduan daripada pemilik sebenar MyKad selepas mendapati berlaku penebusan Budi95 tanpa pengetahuannya.
“Siasatan awal mendapati suspek berusia 42 tahun telah menggunakan MyKad tersebut di stesen minyak di Gemencheh. Lelaki itu ditahan di sebuah Rumah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Kampung Baru, Sungai Lerek pada pukul 12.00 tengah hari,” katanya di sini hari ini.
Menurut JPN, permohonan reman terhadap suspek akan dibuat hari ini dan kes disiasat di bawah Peraturan 25(1)(e) dan 25(1)(o), Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007) kerana memiliki serta menggunakan kad pengenalan bukan miliknya.
Dalam pada itu, JPN menegaskan bahawa memiliki atau menggunakan MyKad milik orang lain untuk apa-apa tujuan termasuk penebusan bantuan kerajaan adalah satu kesalahan serius dan boleh dikenakan tindakan undang-undang.


No comments:
Post a Comment