[rm1.52 juta] 10 PERTUDUHAN SALAH GUNA DERMA! KEJUTAN! LOGO GISBH DICOP ...



PETALING JAYA: Pempengaruh Mohd Hazalif Mohd Hazani dan isterinya, Aisyah Hijanah Azhari didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas 10 pertuduhan salah guna wang derma bernilai RM1,526,372.16. Hazalif yang dikenali sebagai Alif Teega, 30, dan Aisyah Hijanah, 26, mengaku tidak bersalah selepas tuduhan dibacakan di hadapan Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud, lapor Sinar Harian. Mengikut pertuduhan, Hazalif dan Aisyah Hijanah didakwa secara bersama, tidak jujur menyalahgunakan wang sumbangan berkenaan untuk 10 program sedekah. Program itu membabitkan infak pek makanan, kurma, korban, al-Quran dan set pakaian untuk orang miskin di Makkah serta Madinah, termasuk anak yatim, dan mangsa banjir di Pantai Timur. Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Maybank dan CIMB Bank, Bandar Baru Bangi antara 11 Mei 2021 hingga 2 Julai lalu. Pasangan itu didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang membawa hukuman penjara antara enam bulan hingga lima tahun, sebatan dan denda, jika sabit kesalahan. Mahkamah kemudiannya membenarkan kedua-dua tertuduh dibebaskan dengan ikat jamin RM50,000 setiap seorang, dengan seorang penjamin dengan syarat serahan pasport, dan lapor diri di pejabat SPRM terdekat sebulan sekali. Hakim turut menetapkan 27 Nov depan untuk sebutan semula kes. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Farah Yasmin Salleh manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam, Mohd Shahrullah Khan. Pada Jumaat, Hazalif juga mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas dua pertuduhan menyalahgunakan wang berjumlah RM63,605 termasuk untuk program berbuka puasa di Makkah, Syria dan Palestin.