MERINDUI ANWAR YANG DAHULU…



 MERINDUI ANWAR YANG DAHULU…


Ketika ini hantaran paling viral di media sosial, khususnya Tik Tok dan Grup Whatsapp ialah video-video ucapan lama Anwar Ibrahim berkenaan pelbagai janji yang pernah diungkapkannya sebelum ini.


Selain video berkaitan menurunkan harga minyak yang dikira paling banyak versinya, janji lain ialah berkenaan menghapuskan PTPTN, menurunkan kadar tarif letrik dengan cara memanggil tauke-tauke IPP mengadapnya di Pejabat Perdana Menteri sambil hanya dihidangkan Teh O tanpa gula, menurunkan harga barang dan pelbagai lagi.


Meneliti seronoknya rakyat negara ini berkongsi video-video tersebut di media sosial  sejak harga minyak diesel dinaikkan pada 10 Jun lalu, apa yang boleh disimpulkan ialah semua itu adalah petunjuk mereka sebenarnya amat merindui Anwar yang dahulu.


Kerinduan itu sama macam rindunya peminat Ronaldo dan Messi kepada bintang bolasepak itu, lalu mereka berkongsi video-video jaringan gol cantik yang pernah dicipta kedua-duanya bila mana rasa rindu menyerbu dalam dada.


Sama macam rakyat Malaysia, perkongsian video-video lama Anwar itu tidak lain adalah cara untuk melepaskan rasa rindu mereka.


Cuma, sejak naik harga diesel ini, video-video gol cantik Ronaldo dan Messi sudah mula tenggelam, sebaliknya hanya video janji-janji cantik Anwar yang memenuhi ruang media sosial.


Ertinya, rindu kepada Anwar lebih hebat dan telah berjaya menenggelamkan kerinduan terhadap Ronaldo dan Messi.


Tidak dinafikan Anwar yang dahulu memang sosok yang hebat, memukau dan penuh tarikan.


Bagi mereka yang bersama dan mengikuti perjuangan Anwar sejak dulu dan kini cita-cita menjadi Perdana Menteri sudah tercapai, kerinduan untuk melihat apa yang dijanji dulu akan ditunaikan tentu saja datang dengan sendirinya.


Kejayaan bertahan dalam perjuangan selama lebih 25 tahun, seterusnya membawa PH memenangi paling banyak kerusi berbanding gabungan pada PRU15 lalu, lalu membolehkan Presiden PKR itu diangkat sebagai Perdana Menteri, tidak dinafikan adalah kerana tarikan Anwar yang dahulu itu.


Tanpa tarikan Anwar yang dahulu bersama pelbagai janji yang terus memukau rakyat, PKR barangkali sudah lama senasib dengan Parti Semangat 46.


Lantaran itu, tidaklah boleh disalahkan rakyat jika mereka sentiasa merindui Anwar yang dahulu itu.


Kerinduan itu mungkin pula berpanjangan sehingga PRU16 akan datang.


Kalau tak dapat 100 peratus, dapat 50 peratus atau 20 peratus Anwar yang dahulu pun dikira sudah memadai bagi rakyat yang merindu itu.


Janganlah pula sampai sehelai rambut pun janji-janji Anwar yang dahulu tidak ditunaikan langsung.


Misalnya, kalau tak dapat menurunkan minyak sebanyak 10 sen atau 20 sen, janganlah dinaikkan sampai RM1.20 sen.


Jangan juga beri alasan macam-macam, konon kos meningkat, harga minyak di Arah Saudi pun tinggi dan pelbagai lagi.


Rakyat tak mahu dengar alasan, rakyat hanya mahu lihat tertampil Anwar yang dahulu yang hebat dalam perjuangan membela nasib rakyat.


Menaikkan harga minyak yang disertai dengan kesan berantai yang memberi kesan kepada pelbagai kenaikan di pasaran - ini teori ekonomi mana yang mengatakan ia untuk membela rakyat?


Akhirnya, bilakah kita dapat bertemu kembali Anwar yang dahulu?


Mungkinkah  hanya setelah jadi pembangkang semula, maka barulah ketika itu Anwar yang dahulu akan muncul kembali? -ShahbudinHusin 15Jun2024.


https://shahbudindotcom.net/2024/06/15/merindui-anwar-yang-dahulu.html



No comments: