WALAUN ADA DI MANA MANA

 

Istilah walaun sering dikaitkan dengan Pas iaitu mereka yang menjadi penyokong tegar, teramat setia, taksub dan memiliki wala’ melampau kepada pemimpin utama parti tersebut.

Golongan ini akan mempertahankan apa saja keputusan, cakap atau kata-kata pemimpin utama mereka itu.

Secara umumnya walaun bukanlah perkataan yang diiktiraf secara rasmi, tetapi ia berasal daripada perkataan wala’ atau setia.

Ada yang kata walaun adalah perkataan yang diberi oleh golongan pembenci Pas dengan mencantumkan perkataan wala’ dan malaun – yang bererti golongan yang dikutuk dan dibenci kerana kesetiaan melampau mereka.

Ada pula yang menyebut, walaun itu bermaksud wala’ yang melantun-lantun di mana mereka ini, tak kira siang atau malam, kerja mereka hanya tahu setuju dan membenarkan apa saja kata-kata pemimpin mereka.

Lantaran kesetiaan yang melampau dan hanya ingin mengiayakan apa saja kata atau tindakan pemimpin yang dipuja itu, golongan walaun juga dikatakan memiliki kepakaran mencipta dalil-dalil tertentu untuk menguatkan hujah mereka.

Dalil-dalil yang sering diguna adalah dalam bentuk hadis-hadis pilihan, petikan kata-kata para sahabat di zaman Nabi dan ungkapan ulama-ulama besar di zaman dahulu,

Tetapi, benarkah walaun itu hanya ada dalam Pas saja?

Dalam pengalaman saya sebagai penulis yang sering mengkritik dan kadang-kadang membalun ramai pemimpin, sejujurnya saya dapati walaun itu ada di mana-mana saja.

Selain dalam Pas yang sudah tentu ada walaun, dalam UMNO, dalam Bersatu, dalam PKR, dalam DAP dan dalam lain-lain parti juga ada walaun masing-masing.

Cuba kita kritik pemimpin utama UMNO, Bersatu, PKR dan DAP, tidak lama kemudian pasti akan ada tindakbalas daripada penyokong tegar pemimpin berkenaan untuk mempertahankan dan menyerang balik kritikan-kritikan itu.

Apa lagi jika selama ini kita sering memuji dan mengangkat seseorang pemimpin itu, tetapi apabila pemimpin berkenaan melakukan sesuatu yang diangggap tidak wajar, lalu kita mengkritiknya, maka berdentam-dentumlah serangan akan menimpa kita.

Di samping cemuhan, pelbagai andaian juga akan menyusul dilabelkan kepada kita, kononnya kita sudah pro dan condong ke arah lain dan sebagainya lagi.

Pokoknya, penyokong tegar dan pentaksub seseorang pemimpin tetap tidak membenarkan pemimpin pujaan mereka ditegur atau dikritik, meski apa yang ditegur itu adalah sesuatu yang betul dan bertujuan demi kebaikan pemimpin berkenaan.

Selagi seseorang itu hanya mengiyakan saja apa kata tindakan pemimpin pujaannya dan tidak berani memberi teguran, bahkan lebih selesa memilih berdiam diri melihat sesuatu yang tidak wajar dilakukan seseorang pemimpin itu, selagi itulah kewalaunan itu terus wujud dalam semua parti.

Kadangkala ketua kampung, ketua cawangan dan ketua ranting juga ada ramai walaun di sekeliling mereka.

Kewalaunan bukan saja wujud disebabkan kesetiaan totok kepada parti dan pemimpin, tetapi juga kadangkala lahir kerana ingin beroleh jawatan, kedudukan dan lain-lain nikmat kehidupan.

Dalam pada itu, sementara walaun lebih sering dikaitkan dengan Pas dan penyokong Hadi Awang, sebagai tindakbalasnya, penyokong Pas pula seringkali melabel penyokong PKR dan Anwar Ibrahim dengan gelaran walanon.

Gelaran itu merujuk nama Anwar yang menjadi kebiasaannya bagi orang sebelah utara sana memanggilnya dengan gelaran Abang Non.

Hanya ketika ini, gelaran bagi penyokong setia atau pentaksub lain-lain parti belum lagi dicipta sebagaimana terciptanya istilah walaun dan walanon.

Apa pun, baik walaun atau walanon dan apa saja gekaran, maksudnya adalah sama iaitu merujuk kepada kelompok penyokong parti atau pemimpin yang memiliki kesetiaan dan ketaksuban yang maha tinggi.

Peranan besarnya, walaun boleh dikata menceriakan dan menjadikan dunia politik lebih menarik untuk terus dikecimpungi.

Tanpa walaun, bergelumang dalam politik mungkin tidak semenarik dan semeriah seperti yang terbentang di depan mata.

Cuma, janganlah dikecam walaun di sebelah sana saja kerana di sebelah sini pun ada walaun juga.

Lihatlah cermin, walaun itu sebenarnya ada di mana-mana dan mungkin termasuk kita. – ShahbudinHusin 08/03/2024.