Harga, bekalan ayam stabil, hasil pemantauan DVS - Mat Sabu

 



Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan memaklumkan harga dan bekalan ayam di pasaran kini adalah stabil.



Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, ia adalah hasil pemantauan dilakukan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) yang dibuat secara bulanan.



"Bekalan ayam juga pada masa kini adalah stabil dan faktor ini turut menyumbang kepada kestabilan harga ayam semasa," katanya di Dewan Rakyat hari ini.



Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Sim Tze Tzin (PH-Bayan Baru) sama ada harga ayam naik mendadak atau menghadapi kekurangan bekalan di pasaran selepas pemansuhan subsidi dan kawalan harga.



Dalam pada itu, Mat Sabu berkata, purata harga ayam di ladang yang direkodkan di seluruh Semenanjung Malaysia pada November 2023, adalah RM5.85 sekilogram dan Disember pula RM6.39 sekilogram.



Manakala Januari 2024 katanya, purata harga ayam adalah RM6.13 sekilogram dan pada Februari 2024 adalah RM6.03 sekilogram.



"Oleh itu, kerajaan berpandangan subsidi serta kawalan harga bagi telur ayam gred A,B dan C diteruskan dengan menggunakan mekanisme sedia ada," ujarnya.



Justeru, katanya, sebarang perubahan dasar akan mengambil kira semua faktor khususnya trend bekalan semasa.



"Kerajaan juga akan sentiasa memantau pengeluaran di peringkat ladang bagi memastikan bekalan telur mencukupi, khususnya ketika musim perayaan.



"Kerajaan juga akan terus bekerjasama dengan semua pihak bagi memastikan bekalan telur di ladang berada dalam keadaan stabil dan tidak membebankan rakyat," ujarnya lagi.



Pada 30 Oktober tahun lalu, beliau berkata Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) mengumumkan subsidi dan kawalan harga ayam di tamatkan sepenuhnya bermula pada 1 November 2023, mengambil kira situasi dan trend semasa bekalan serta harga ladang dan kos pengeluaran ayam telah mula stabil, yang menyumbang kepada harga pasaran pada kadar yang munasabah.



Pada 1 November 2023 lalu kerajaan mengumumkan subsidi dan kawalan harga ayam dimansuhkan sepenuhnya.



Tindakan itu mengambil kira trend semasa bekalan serta harga ladang dan kos pengeluaran ayam yang telah stabil, sekali gus menyumbang harga pasaran pada kadar yang munasabah.

 


No comments: