1. Saya tidak pernah berhasrat untuk mengulas kenyataan media PM
di Shah Alam pada 8 April 2023 tentang Laut China Selatan. Tetapi, apabila
seorang YouTuber dengan tajuk videonya “Nak bodek China pun, AGAK-AGAKLAH BANG
NON!”
mensensasikan isu ini, saya fikir ia sangat berbahaya dan
memerlukan penjelasan.
2. Video ini mengecam PM sebagai individu yang "membodek
China seolah-olah tak ingat dunia," ekoran kenyataan PM yang mahu
berunding dengan China mengenai pertindihan cari gali petroleum di kawasan ZEE
oleh Petronas.
3. Kenyataan PM bukan mengiktiraf kawasan ZEE itu milik China,
tetapi mempertahankan kawasan itu sebagai kawasan milik negara kita di meja
rundingan. PM menyuarakan hal tersebut kepada kerajaan China setelah China juga
menyatakan mereka menuntut kawasan yang sama.
4. Kenyataan PM itu dimanipulasi oleh pembangkang sebagai
menjual kedaulatan negara, dan menyerang PM dengan mengatakan kenyataan PM itu
sebagai suatu tindakan yang mengguris hati rakyat. Mereka juga menganggap PM
kita tidak layak memimpin negara ini.
5. Selepas itu muncul berbaris komen beremosi yang mencaci PM.
Antaranya: “Anwar bukan tau apa pun dia ni lapaq nak jadi perdana menteri ja.”
“PMX letak jawatan, anda bukan pelindung negara! “Kita kena bertindak sekarang
sebelum nasi jadi bubur. Tak mustahil negara pun dia akan jual jika dia
tersepit.”
6. Salahkah apabila PM mengatakan akan mempertahankan wilayah
Malaysia melalui meja perundingan? Walhal rundingan itu sangat penting untuk
kita menyelesaikan konflik secara aman dan konstruktif, terutamanya dengan
China yang merupakan kuasa terbesar dunia.
7. Dua nasihat saya. Pertama, jika pun kita berbeza politik
kepartian, janganlah bermain dengan isu kedaulatan negara. Menuduh PM hendak
menjual kedaulatan negara adalah tidak bertanggungjawab, tidak beretika, dan
tidak bermoral.
8. Kedua, berpolitiklah dengan fakta. PM dan semua kita mahukan
yang terbaik untuk negara. Tidak puas hati dengan keputusan PM, tegur dan
kritiklah secara berhemah.
9. Dalam kehidupan bernegara, tanggungjawab utama kita adalah
membawa naratif yang betul kepada masyarakat. Sama-sama kita jaga kedaulatan
negara kita.