NOTA KEPADA ANWAR - FAHAMI APA YANG RAKYAT MAHU DALAM ISU NAJIB DAN ZAHID HAMIDI


Tulisan kali ini saya titipkan khas buat Perdana Menteri, Anwar Ibrahim dengan doa agar kekal istiqamah melawan rasuah.


Saya tidak pasti sama ada beliau punya masa membaca tulisan saya kali ini, tetapi saya yakin orang-orang kanan Anwar dan pegawai-pegawainya yang sebahagiannya merupakan kawan-kawan saya pasti membaca tulisan ini.


Terserahlah kepada mereka mahu menyampaikannya kepada Anwar atau tidak, tetapi jika mereka kekal sayang kepadanya, pasti mereka tidak berlengah untuk berbuat demikian.


Dalam isu yang sedang diperbualkan masyarakat ketika ini iaitu pengampunan Najib Razak dan permohonan Zahid Hamidi untuk menggugurkan 47 kes mahkamahnya, saya ingin memaklumkan kepada beliau apa yang sebenarnya keinginan atau kemahuan rakyat dalam perkara tersebut.


Mungkin dapatan saya ini tidak berapa tepat atau tidak memenuhi kaedah yang betul dalam metodologi kajian yang betul-betul akademik.


Tetapi, sejak isu ini timbul, saya telah bercakap dengan ramai orang daripada pelbagai peringkat usia dan latar belakang, sambil dalam masa yang meneliti kecenderungan di hampir semua platform media sosial sejak beberapa hari lalu berkenaan dua isu terbabit.


Kesimpulan mudah yang didapati dalam kes pengampunan Najib ialah rakyat menolak dan tidak setuju pengampunan diberikan kepada bekas Perdana Menteri itu dalam waktu terdekat ini.


Rata-rata mahukan beliau terus berada di penjara untuk suatu tempoh tertentu sebelum pengampunan hendak diberi atau dicadangkan.


Ada yang mahu beliau berada di penjara sekurang-kurangnya selama 4 tahun dan ada yang mahu 6 tahun sebelum pengampunan diberikan, bahkan tidak kurang yang ingin biarlah sehingga “tamat pengajian” di Penjara Kajang selama 12 tahun.


Ini kata mereka, untuk keadilan kepada rakyat yang terpaksa menanggung beban hutang 1MDB, selain kerana seriusnya kesalahan yang telah beliau lakukan atas jawatannya selaku Perdana Menteri ketika itu.


Begitu pun, sebahagian besar bersetuju, kalau pun pengampuan hendak dicadangkan, masa yang munasabah ialah selepas PRU16 pada tahun 2027 akan datang.


Diharapkan Anwar tidak sukar memahami kemahuan rakyat dalam hal ini dan jika beliau masih ada keraguan, bolehlah cuba membuat hantaran di FB atau Twitter dengan ayat – Berapa lama rakyat Malaysia mahu Najib berada di penjara? – dan kemudian lihatlah sendiri komen-komen yang diperolehi.


Dalam kes Zahid Hamidi pula, oleh kerana 47 kes pecah amanah, rasuah dan penggubahan wang haram berkaitan dana Yayasan Akalbudi yang sedang dihadapinya sudah dalam peringkat membela diri, rakyat tidak setuju sama sekali jika Peguam Negara bertindak menggugurkannya.


Menggugurkan kes tersebut akan dilihat pelik sedangkan Mahkamah Tinggi pada Januari 2022 membuat keputusan membela diri itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya menimbulkan kes prima facie bagi semua 47 tuduhan terhadap Zahid Hamidi.


Di mana logiknya setelah pihak pendakwa berjaya membuktikan kes frima facie, tetapi tiba-tiba Jabatan Peguam Negara mahu menggugurkannya pula?


Sepatutnya, representasi yang dikemukakan Zahid Hamidi itu dibantah keras oleh pihak pendakwa demi menjaga kewibawaan Jabatan Peguam Negara, bukan dengan mendiamkan diri tidak membantah sama sekali ia dikemukakan beserta penangguhan perbicaraan.


Apa yang rakyat mahukan ialah biarlah semua kes yang sedang dihadapi Zahid Hamidi itu berjalan tanpa gangguan dan kemudian terserah kepada hakim mahkamah menentukan sama ada bersalah atau sebaliknya.


Dalam hal ini, oleh kerana Jabatan Peguam Negara terletak di bawah dagu kuasa seorang Perdana Menteri, adalah penting untuk Anwar selaku seorang reformis memastikan kewibawaan jabatan tersebut tidak tercemar dan dikotori sebagaimana dana Yayasan Akalbudi yang matlamatnya untuk tujuan suci tetapi telah didedahkan di mahkamah dengan pelbagai perbelanjaan di luar kewajaran.


Sama seperti kes pengampunan Najib, jika Anwar turut meragui sentimen kemahuan rakyat dalam isu permohonan Zahid Hamidi untuk menggugurkan kesnya, beliau boleh juga membuat hantaran di FB dan Twitter dengan ayat – Kes mahkamah Zahid Hamidi wajar digugurkan atau diteruskan? – dan kemudian lihatlah sendiri apa komen rakyat mengenainya.


Namun demikian, di sebalik dua kemahuan itu, rakyat juga secara umumnya mahu Anwar terus kekal sebagai Perdana Menteri sekurang-kurangnya sehingga PRU16 pada tahun 2027 akan datang.


Tanyalah di mana-mana dan kepada siapa saja, pelbagai lapisan rakyat pasti tidak ragu-ragu memberi jawapan mereka sudah letih dengan episod pertukaran tiga Perdana Menteri sebagaimana berlaku selepas PRU14 sebelum ini.


Mereka kini mahu Anwar kekal sebagai Perdana Menteri sehingga habis penggal, malah tiada masalah jika bersambung lagi selepas PRU16 nanti.


Cuma, syarat utamanya hanya satu – Jangan sesekali berkompromi dalam isu Najib dan Zahid Hamidi!! – ShahbudinHusin 11/04/2023.


https://shahbudindotcom.net/2023/

No comments: