TIADA TOLAK ANSUR LAWAN RASUAH, ANWAR DIHARAPKAN TIDAK MUDAH MENGALAH

 

Berdepan tekanan daripada UMNO, terutama dalam isu pengampunan Najib Razak dan tindakan terbaru Zahid Hamidi mengemukan representasi kepada Peguam Negara untuk menggugurkan 47 kes mahkamahnya yang sedang berjalan, sekurang-kurangnya setakat ini, Anwar Ibrahim ternampak masih teguh dengan pendiriannya.

Katanya, beliau tidak akan bertolak ansur dalam usahanya untuk menyelamatkan negara ini daripada amalan rasuah.

Malah, bersama ketegasannya memerangi rasuah itu, Anwar juga bersedia jika ada sesiapa mahu menjatuhkannya sebagai Perdana Menteri.

“Itu tekad saya, senang susah saya hadapi. Kalau nak jatuhkan kerana saya lawan rasuah, silakan, tetapi saya tidak akan bertolak ansur daripada usaha bersihkan negara ini dan selamatkan bangsa kita dan negara kita daripada tindakan orang yang merompak kekayaan negara.

“Bukan sedikit, dan ini termasuk pimpinan yang ada dalam kerajaan, baik menteri, dalam kalangan kerajaan negeri (exco).

“Kena ingat, saya arah SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia), ambil tindakan kepada siapa sahaja yang melakukan rasuah, terutama setelah kita bagi amaran, dia buat juga lagi,” katanya ketika berucap dalam satu program di Tambun, Perak semalam.

Dengan ketegasan ini, kita setidak-tidaknya masih ada keyakinan bahawa Anwar tidak akan tunduk kepada kemahuan UMNO untuk menyelamatkan Najib dan juga Zahid Hamidi itu.

Sebagaimana diperingatkan dalam artikel sebelum ini, jika pengampunan diberi kepada Najib di mana meskipun kata akhir dalam memberi pengampunan itu adalah atas budi bicara Yang Dipertuan Agong, tetapi baginda juga tertakluk kepada nasihat Perdana Menteri dalam hal berkenaan dan tidak dapat dielakkan, kerajaanlah yang akan menerima kesan buruknya.

Mahu tidak mahu, Anwar tidak terlepas daripada dipertanggungjawabkan dalam nasihat yang diberi kepada Agong itu.

Dengan itu, dalam PRU16 akan datang, Anwar dan PH tidak akan dipercayai lagi oleh rakyat dan sudah tentu jauh panggang daripada api untuk memperolehi undi lagi.

Begitu juga dalam isu permohonan Zahid Hamidi untuk menggugurkan 47 kes pecah amanah, rasuah dan penggubahan wang haram berkaitan dana Yayasan Akalbudi yang sedang dihadapinya, ini juga satu lagi beban yang akan menimpa bahu Anwar jika nanti keputusan Peguam Negara memihak kepada Presiden UMNO itu.

Apa lagi, bayangan cerahnya harapan permohonan Zahid Hamidi itu bakal menemui kejayaan sudah pun dapat dirasai banyak pihak apabila pendakwa memaklumkan telah mendapat arahan daripada Peguam Negara, Idrus Harun untuk tidak membantah permohonan penangguhan perbicaraan kes itu kepada bulan Ogos akan datang.

Ini bermakna, sebagaimana dalam kes Zahid Hamidi memohon agar pasport peribadinya dikembalikan secara kekal yang tidak dibantah oleh pendakwa baru-baru ini, juga kerana adanya arahan, dalam kes permohonan menggugurkan kes juga terdapat arahan supaya tidak mengemukakan bantahan.

Yang jelas, seperti mana semua orang tahu bahawa Jabatan Peguam Negara adalah terletak di bawah dagu kekuasaan Perdana Menteri dan permohonan Zahid Hamidi untuk menggugurkan kesnya adalah satu tekanan yang memang ditujukan kepada Anwar.

Zahid Hamidi nampaknya tidak sedia menunggu sehingga kesnya diadili oleh hakim mahkamah sama ada beliau didapati bersalah atau tidak, sebaliknya mahu kesnya digugurkan oleh Peguam Negara yang terletak dibawah kekuasan Perdana Menteri.

Dalam erti kata lain, Zahid Hamidi sebenarnya mahu Anwar menggugurlan kesnya itu.

Tetapi, berdepan semua karenah UMNO itu, apa yang diharapkan ketegasan Anwar yang mengatakan beliau tidak bertolak ansur atau tunduk kepada tekanan, akan terus dapat dipertahankannya dan tidak mengalah semata-mata untuk terus kekal sebagai Perdana Menteri.

Satu perkara yang Anwar harus ingat, jika beliau ternampak mengalah dalam kes pengampunan Najib dan pengguguran kes yang dipohon Zahid Hamidi, ia bermakna beliau telah bertolak ansur terhadap rasuah.

Kenyataan beliau hari ini yang menyebut – Tidak akan bertolak ansur dan kalau nak jatuhkan kerana saya lawan rasuah, silakan – hanya akan menjadi sisa kumbahan jika Najib dan Zahid Hamidi didapati lepas bebas akhirnya.

Ketika itu nanti, selain PH tidak lagi dipercayai pengundi, mungkin buat selama-lamanya, ia juga bermakna sudah matilah perjuangan reformasi dan sucinya kerajaan madani yang diagung-agungkan selama ini. – ShahbudinHusin 11/04/2023.



No comments: