RM23 juta bina semula pasar Bukit Mertajam



Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, melawat Pasar Awam Bukit Mertajam bersama Exco Pulau Pinang Jagdeep Singh Deo. (Gambar Bernama)

BUKIT MERTAJAM: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memperuntukkan RM23 juta bagi membina semula Pasar Awam Bukit Mertajam yang akan memberi manfaat kepada lebih 240,000 penduduk berhampiran.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, berkata projek Pasar Awam Bukit Mertajam berkeluasan 42,000 kaki persegi yang melibatkan pembinaan lima komponen utama itu akan bermula tahun ini dan dijangka siap 2026.

“KPKT komited untuk membantu Pulau Pinang bagi membangunkan semula Pasar Awam Bukit Mertajam ini yang pernah terlibat dalam kebakaran hampir 10 tahun dahulu dan sejak itu ia tidak dibina semula, oleh kerana usaha bertungkus lumus Ahli Parlimen Bukit Mertajam Steven Sim untuk projek ini dan kami sukacita bersetuju,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian selepas melawat pasar itu bersama Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan serta Perancangan Bandar dan Desa negeri, Jagdeep Singh Deo.

Pasar itu yang dibina sekitar 1960-an terbakar pada 4 Jan 2014.

Nga berkata, kerajaan negeri dan MBSP akan turut bekerjasama dengan Persatuan Arkitek Malaysia bagi menganjurkan pertandingan reka bentuk bangunan pasar awam itu.

Katanya, Pasar Awam Bukit Mertajam bakal melakar sejarah dan lembaran baharu kerana ia bukan hanya pasar biasa malah berpotensi sebagai destinasi pelancongan terkini di Bukit Mertajam.

“Saya dah kaji kawasan radius ini memang ia berpotensi untuk dibangunkan sebagai destinasi pelancongan terkini untuk Bukit Mertajam malah ia (Pasar Awam Bukit Mertajam) bukan sahaja seperti pasar biasa tapi macam Pasar Seni Kuala Lumpur yang ada pusat warisan dan galeri kreatif yang boleh jual barang-barang kreatif di situ,” katanya.

Nga berkata apabila siap kelak, tapak jualan di situ juga akan lebih luas, selesa dan moden untuk kegunaan para peniaga.

Katanya ketika ini terdapat 380 peniaga di pasar itu dan mereka akan diberi keutamaan untuk terus berniaga di situ setelah projek tersebut selesai.


No comments: