AGAKNYA DR. MASZLEE NAK BERITAHU DIA YANG PATUT JADI MENTERI PENDIDIKAN…

 

Dr. Maszlee Malik, bekas Menteri Pendidikan yang diminta meletakkan jawatan ketika era pentadbiran Tun Mahathir Mohamad selepas PRU 2018 dan kemudian tidak menang bertanding di Simpang Renggam pada PRU15 lalu, secara tiba-tiba menyarankan agar golongan yang terlibat dalam bidang pendidikan dilantik sebagai Menteri Pendidilan dan Menteri Pengajian Tinggi setelah PRU16 akan datang.

Tindakan itu, kata beliau adalah bagi membolehkan kebebasan akademik dipertahankan.

“Kita harap bila PRU16 nanti, kita letakkan, buat duluan, iaitu yang menjadi Menteri Pendidikan dan Menteri Pengajian Tinggi, bukan daripada orang politik.

“Biar orang dalam (bidang) pendidikan sendiri, orang yang tahu isi hati dan hala tuju,” kata beliau lagi.

Dr. Maszlee yang juga bekas pensyarah sebelum menceburi bidang politik turut mengungkit bagaimana Hadi Awang, Presiden Pas pun tidak dilarang datang ke universiti ketika beliau memegang jawatan Menteri Pendidikan sebelum ini.

“Saya ingat sebelum PRU, Fahmi Rehza tak boleh masuk, zaman saya Haji Hadi pun boleh masuk,” tambahnya.

Dengan melontarkan saranan sedemikian, agaknya Dr. Maszlee ingin menyampaikan isyarat atau mesej kepada Perdana Menteri, Anwar Ibrahim bahawa beliaulah yang sepatutnya dilantik sebagai Menteri Pendidikan atau Menteri Pengajian Tinggi dalam susunan kabinet baru-baru ini.

Namun, oleh kerana kedua-dua jawatan itu tidak jatuh kepadanya, nampaknya harapan beliau masih menggunung tinggi untuk dicapai lagi selepas PRU16 akan datang.

Tetapi, sebagai peringatan mesra buat Dr. Maszlee, jika ingin dilantik jadi menteri, setidak-tidaknya cubalah menang di Simpang Renggam dulu dalam PRU16 nanti.

Berkaitan saranan beliau itu, persoalannya ialah benarkah ahli akademik saja sesuai untuk jadi Menteri Pendidikan dan Menteri Pengajian Tinggi?

Adakah beliau sendiri begitu berjaya sebagai Menteri Pendidikan sebelum ini?

Sebelum Dr. Maszler, ada seorang lagi ahli akademik yang pernah dilantik sebagai Menteri Pendidikan pada tahun 1999 iaitu Musa Mohamed, masihkah kita ingat apa-apa rekod kejayaannya?

Berdasarkan dua contoh duluan ahli akademik yang pernah memegang jawatan Menteri Pendidikan sebelum ini, saranan itu boleh dikata tidak terpakai sama sekali.

Sebaliknya, Anwar dan Najib Razak adalah dua contoh bekas Menteri Pendidikan yang banyak jasa serta melakukan banyak perubahan dan keduanya bukan pun dalam bidang pendidikan, kecuali Anwar yang pernah mengusahakan Yayasan Anda.

Lagi pun, memberi kebebasan akademik dan membenarkan Hadi Awang masuk ke universiti bukan satu-satunya asas yang boleh dibanggakan kerana ada berpuluh kepentingan lain lagi perlu diutamakan sebagai Menteri Pendidikan atau Menteri Pengajian Tinggi.

Yang penting, seorang menteri itu harus mempunyai keazaman politik untuk melakukan perubahan dan penambahbaikan sesuai dengan keadaan, punya komitmen tinggi dan idea yang bernas sesuai dengan portfolio yang dipegangnya.

Orang yang sedemikian tidak semestinya daripada ahli akademik atau mereka dalam bidang tertentu saja.

Tetapi, jika ikut logik Dr. Maszlee bahawa hanya orang dalam bidang pendidikan saja, misalnya bekas pensyarah sepertinya yang sesuai memegang jawatan Menteri Pendidikan dan Menteri Pengajian, ini turut bermakna hanya kalangan doktor layak jadi Menteri Kesihatan, ahli sukan dan tokoh belia untuk jawatan Menteri Belia dan Sukan, ahli bank untuk Menteri Kewangan dan portfolio lain seterusnya.

Kalau Musa Mohamad tidak pernah diingati sebagai bekas Menteri Pendidikan yang berjaya, begitu juga dengan Tengku Zafrul sebagai ahli bank ternampak tidak ternampak berjaya sebagai Menteri Kewangan, apakah sejarah kegagalan lagi yang mahu dicipta? – ShahbudinHusin 31/12/2022.


No comments: