Berkatalah Presiden Pejuang, Mukhriz Mahathir bahawa masa untuk Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri sudah pun berlalu.
Katanya, Anwar bukan lagi calon yang sesuai untuk menjadi Perdana Menteri dan PH memerlukan pemimpin baru untuk menggantikannya.
“Saya rasa masa untuk Anwar sudah berlalu. Saya fikir ramai yang telah menyatakan demikian, bahkan dalam PH sendiri,” katanya dalam temubual dengan sebuah stesen radio.
Dalam masa yang sama, Mukhriz bagaimanapun tidak menolak kemungkinan untuk Pejuang bekerjasama dengan PH bagi menghadapi PRU15 akan datang.
“Kami masih terbuka untuk sebarang perbincangan.
“Bagaimanapun, kita mempunyai isu tertentu yang perlu kita bangkitkan sebelum bergerak ke arah itu, terutama berkaitan sokongan pengundi Melayu kepada PH,” tambahnya lagi.
Ketika ditanya jika beliau mempunyai cita-cita untuk menjadi Perdana Menteri, Mukhriz berkata: “Saya mesti bersedia untuk sebarang kemungkinan.”
Sepertimana yang kita sedia maklum, Pejuang bukanlah komponen PH, malah menampakkan sikap tidak mesra dengan gabungan tersebut.
Tetapi, mengapakah beliau masih berminat memperkatakan calon Perdana Menteri daripada PH?
Kenapa tidak Pejuang lebih memikirkan siapa calon PM daripada gabungan keempat yang mungkin disertainya bersama Warisan dan Muda?
Selagi Anwar diterima dan dipersetujui oleh PH sebagai calon Perdana Menteri, rasanya bukan menjadi isu bagi pihak lain untuk campurtangan mengenainya.
Malah, jika benar Pejuang ada kekuatan dan Anwar dikatakan bukan lagi calon Perdana Menteri yang sesuai, mengekalkan Presiden PKR itu sebagai calon Perdana Menteri bagi PH seharusnya merupakan berita gembira buat mereka.
Setidak-tidaknya, inilah masanya untuk Pejuang dan gabungan keempat itu menonjolkan calon Perdana Menteri yang lebih sesuai – kononnyalah – berbanding Anwar yang dikatakan tidak sesuai itu.
Beranikah Pejuang dan gabungan keempat itu menamakan siapa calon Perdana Menteri mereka?
Dalam masa yang sama, beranikah Mukhriz bersuara mengatakan masa untuk Pengerusi Pejuang, Tun Mahathir Mohamad mengejar lagi jawatan Perdana Menteri juga sudah berlalu?
Tidak kurang penting, dengan Mukhriz sendiri mengatakan beliau harus bersedia dengan sebarang kemungkinan, adakah dengan mendakwa masa untuk Anwar sudah berlalu, Presiden Bersatu itu sedang mempromosi dan memancung-mancungkan hidungnya agar PH menyetujui dan menerimanya sebagai calon Perdana Menteri dalam PRU15 akan datang? – ShahbudinHusin 04/01/2021.