Ustaz Ridzwan ‘sekolahkan’ Kak Lah isu Rina Harun bersih kesan najis unggas, cicak
Ahli Jawatankuasa Pimpinan AMANAH Nasional, Ustaz Ridzwan Abu Bakar menempelak Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff berhubung isu aksi Datuk Seri Rina Harun membersihkan kesan najis unggas dan cicak baru-baru ini.
Ustaz Ridzwan menegaskan Siti Zailah yang juga dipanggil Kak Lah seolah-olah menyalahkan warganet yang mengecam tindakan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mencuci simen bersih pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Salak Tinggi bulan lalu.
“Untuk pengetahuan Kak Lah yang dipertikaikan oleh netizen bukannya tentang turun padang, bukan tentang Datuk Rina mengatur kerusi.
“Tapi yang kita pertikaikan bagaimana Datuk Rina cuba untuk memperbodohkan rakyat. Dia pergi cuci pusat pemindahan banjir ang tidak kena banjir. Ini yang kita pertikaikan,” katanya.
Terdahulu, Siti Zailah dalam temubual di Bernama TV berkata, Allah akan mempersoal segala perbuatan yang dilakukan semasa di dunia susulan kritikan warganet terhadap aksi Rina membersihkan kesan najis cicak dan unggas itu.
Wakil rakyat Pas itu juga mengingatkan warganet dengan membacakan Surah Yasin, ayat 65 berkenaan tangan dan kaki yang akan bercakap ketika diadili di Padang Mahsyar sebagai saksi atas segala perbuatan yang dilakukan ketika hidup di muka bumi.
“Kita dalam memberi komen harus melihat juga di sebalik apa yang berlaku…. apa yang kita buat akan disoal di hadapan Allah… apa yang kita tulis, apa yang kita taip.
“Sebab itu dalam suasana musibah bukan masa untuk kita menuding jari, mencari kesalahan seseorang.
“Semasa berlakunya musibah sepatutnya kita perbanyakkan pertolongan kepada saudara-saudara kita yang memerlukan.
“Memang nak komen mudah, nak melaksanakan bukan mudah,” kata Siti Zailah.
Mengulas lanjut, Ustaz Ridzwan mengingatkan bahawa sebagaimana netizen yang akan dipersoalkan, Siti Zailah yang mempertahankan tindakan Rina itu juga akan berdepan keadaan sama pada Hari Akhirat kelak.
“Saya mahu ingatkan Kak Lah termasuk perkara yang tidak boleh dibuat adalah mempertahankan perkara yang batil, berdusta kepada rakyat.
“Turun dan berlakon dan disebarkan kononnya dia turun, itu juga kerja keji dan akan dipersoal Allah.
“Jangan mempermainkan ayat Allah untuk dilaksanakan kepada semua orang bukan kepada para netizen sahaja,” tegas Ustaz Ridzwan lagi.