Solusi
menghantar tenaga kerja Terengganu ke Selangor sebagai memenuhi janji manifesto
pilihan raya Pas dikritik banyak pihak.
Menurut
Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Terengganu, Azan Ismail, kerajaan Pas
sepatutnya lebih kreatif dalam mewujudkan peluang pekerjaan, bukannya
mengeksport anak muda ke negeri lain bagi memenuhi janji mewujudkan 20,000
peluang pekerjaan.
"Pemikiran
pemimpin Pas negeri ini nampaknya berceralu. Di mana mereka terdesak, hampir 4
tahun jadi kerajaan tiada apa janji maniefsto yang dapat ditunaikan.
"Malah
keadaan ekonomi negeri menjadi bertambah buruk. Kadar pengangguran memuncak dan
tidak pernah dialami sebelum ini. Jabatan Tenaga Kerja umumkan pengangguran di
Terengganu antara tertinggi di Malaysia.
"Oleh
kerana terdesak itu, dua tiga hari lepas mereka buat majlis melepaskan
rombongan (anak muda) pergi bekerja di Selangor," katanya kepada Suara
Keadilan.
Tegas
Azan, penghijrahan tersebut sepatutnya dielakkan berikutan Terengganu telah pun
dikenali sebagai negeri menua, dengan banyaknya tenaga kerja muda merantau ke
Pantai Barat Semenanjung dan malah Singapura sejak berdekad dekad lalu.
"Perkara
ini tidak wajar berlaku. Orang tua yang berumur ditinggalkan dan anak muda
berhijrah. Dulu kita guna pendekatan mewujudkan pekerjaan di tempat masing
masing untuk menseimbangkan kependudukan dalam negara
"Bukankah
Terengganu banyak sumber untuk disertai oleh golongan muda? Tetapi kerajaan Pas
tidak berjaya mengeksploitasi sumber ini bagi mewujudkan peluang pekerjaan,
menarik pelabur jauh sekali lah.
"Bayangkan
anak anak muda kita terpaksa bekerja di negeri lain, ini menjadikan sumber
tenaga kerja di Terengganu semakin merosot. Hal ini sangat tidak baik untuk
perkembangan tenaga kerja mahir atau kurang mahir di negeri ini
"Kesannya
perkembangan ekonomi tidak akan berjalan rancak. Aktiviti ekonomi hanya setakat
kerja kerajaan, aktiviti petroleum dan gas tetapi tidak pula disertai oleh anak
anak tempatan," katanya.
Azan
turut mencabar kerajaan Pas, apakah peluang pekerjaan yang ditawarkan di
Selangor itu tidak boleh diwujudkan di negeri berkenaan.
Tambahnya,
pekerjaan yang dijanjikan seperti operator pengeluaran kilang dan dengan
pendapatan yang kecil seharusnya boleh disediakan sekiranya pemimpin Kerajaan
Negeri berfikiran lebih kreatif.
"Pekerja
yang digalakan oleh Pas ini bidang apa, yang digalakkan ke Selangor? Pekerja
kilang? Pendapatan pun tidak seberapa.
"Masalah
sosial pula yang akan memuncak. Kita tahu di Selangor persaingan sengit,
kejutan budaya, dan yang dihantar itu bukannya (pekerjaan) bergaji besar. Jadi
ini adalah satu keputusan yang bercelaru dan tidak mencerminkan sebuah Kerajaan
Negeri yang memandang ke hadapan.
"Kerajaan
Pas Terengganu bukan sahaja gagal tetapi membahayakan struktur tenaga kerja di
negeri ini," katanya lagi.