JOM KITA BACA CERITA TANGKAP HARIMAU

 

Harimau kumbang masuk perangkap



Harimau kumbang jantan itu memasuki perangkap selepas 11 hari mengganggu penduduk. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Seekor harimau kumbang berjaya ditangkap malam tadi selepas 11 hari “menghantui” penduduk Kampung Asli Kenang Baru, Jalong Tinggi, dekat Sungai Siput.

Harimau kumbang jantan seberat 37kg itu memasuki perangkap dipasang Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Daerah Sungai Siput kira-kira jam 10 malam tadi.

Menurut laporan Harian Metro, PERHILITAN Perak menerusi kenyataan media berkata telah menerima aduan mengenai harimau kumbang berusia enam tahun itu pada 24 Disember lalu dan mengarahkan anggotanya melakukan tindakan susulan.

Katanya, tiga anggota PERHILITAN pada mulanya mengesan kehadiran haiwan itu ketika melakukan tinjauan pada tengah malam 25 Disember lalu berdekatan sebuah kandang lembu di kampung berkenaan.

Bagaimanapun ketika itu usaha menembak haiwan berkenaan menggunakan ubat pelali gagal.

“Pada awalnya kita mengambil keputusan untuk menembak haiwan itu menggunakan pelali pada waktu pagi bagi menjamin keselamatan anggota Perhilitan serta mengelakkan kejadian tidak diingini.

“Namun kira-kira jam 7 pagi 25 Disember, haiwan itu didapati masuk semula ke hutan belukar berhampiran.

“Susulan itu, anggota Perhilitan memasang dua perangkap di kawasan berkenaan dan membuat pemantauan di kawasan itu dari semasa ke semasa sehingga haiwan itu masuk perangkap malam tadi,” katanya.

Menurutnya, harimau kumbang berkenaan diserahkan kepada Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC) untuk pemeriksaan lanjut dan rawatan.

Katanya, penduduk kampung dinasihatkan sentiasa membersihkan kawasan kandang haiwan ternakan dan kebun serta tidak dibiarkan bersemak sebagai langkah mengurangkan kehadiran binatang buas di kawasan berkenaan.

No comments: