‘Buat pekak, bisu, buta dan tak tahu’, Rafidah selar kerajaan



PETALING JAYA: Seorang bekas menteri mempertikai sama ada kerajaan kini menggunakan pendekatan “buat pekak, bisu, buta dan tak tahu” dalam tadbir urus, susulan banjir dan wabak yang dihadapi negara.

Rafidah Aziz berkata, pendekatan seperti itu “semakin berleluasa” dengan pihak berkuasa nampak seolah-olah tidak berpegang pada realiti keadaan.

Katanya, kerajaan dan pihak berkuasa juga seperti lali terhadap kesilapan dan salah laku dalam kalangan mereka.

“Mereka tidak ‘melihat’ laporan yang dibuat atau ‘mendengar’ bantahan umum. Mereka juga ‘tidak buat apa-apa’ walaupun bukti ditunjukkan kepada mereka,” katanya dalam hantaran di Facebook.

“Nampaknya itulah SOP baharu, modus operandi tadbir urus.”

Bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu turut menyoal sama ada kerajaan memupuk “Keluarga Malaysia” disfungsi yang membiarkan salah laku dan rasuah.

Bulan lalu, penganalisis memberitahu FMT, Putrajaya kini semakin kehilangan kepercayaan rakyat, susulan banjir yang melanda dan gesaan supaya wang bantuan tidak disalurkan menerusi kerajaan Malaysia.