SEMALAM TAK ADA DALAM SENARAI....HARI NI DAH ADA

 


Jho Low, Nicky Liow dalam senarai Interpol, kata KPN




Kedua-dua Notis Merah yang dikeluarkan ke atas Jho
 Low dan Nicky Liow adalah untuk tatapan agensi
 penguatkuasaan sahaja, menurut polis.

PETALING JAYA: Bukit Aman mengesahkan telah memperolehi Notis Merah (Red Notice) daripada Interpol (Polis Antarabangsa) untuk memasukkan dua individu iaitu ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low dan Nicky Liow Soon Hee.

Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani dalam kenyataan berkata, polis memperolehi Notis Merah terhadap Jho Low menerusi notis bertarikh 11 Jun 2018 manakala Nicky Liow, 20 April 2021.

Beliau berkata, terdapat dua kategori Notis Merah Interpol iaitu boleh dikongsi bagi paparan atau makluman awam dan satu lagi dihadkan untuk diakses oleh agensi penguatkuasa.

“Ibu Pejabat Interpol merupakan pihak yang akan menentukan jenis kategori notis itu dan tertakluk kepada tahap keseriusan dan ancaman kepada awam.

“Kedua-dua Notis Merah yang dikeluarkan ke atas Jho Low dan Nicky Liow adalah untuk tatapan agensi penguatkuasaan sahaja,” kata kenyataan itu.

Acryl Sani menambah, polis kekal komited dalam usaha memastikan kedua-dua penama berkenaan ditahan dan dibawa ke muka pengadilan.

Terdahulu, Acryl Sani yang dipetik sebagai berkata, polis sebelum itu telah membuat permohonan Notis Merah itu bagaimanapun nama Jho Low dan Nicky Liow masih belum dimasukkan ke dalam senarai Notis Merah oleh Interpol.

Nov lepas, Kementerian Dalam Negeri dilaporkan mengakui tidak mempunyai maklumat mengenai keberadaan Jho Low.

Jho Low menjadi buruan ekoran skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) manakala pengasas Winner Dynasty Group, Nicky Liow berhubung sindiket Macau Scam.

No comments: