PRU 2018: Sabotaj di ‘war room’; di luar, BN bawa penyokong PH ke pusat undi, kata bekas pembantu Najib
PETALING JAYA: Barisan Nasional tergugat teruk pada pilihan raya umum lalu susulan perubahan perisian pada jaringan komputernya, menyebabkan pekerja BN membawa penyokong pembangkang beramai-ramai untuk mengundi Pakatan Harapan pada 9 Mei 2018.
Pada hari mengundi, ‘war room’ BN juga huru-hara dengan dakwaan pelbagai perbuatan sabotaj termasuk serangan gangguan isyarat (signal jamming) yang memberi kesan serius kepada jentera gabungan itu, menurut Romen Bose, bekas konsultan komunikasi politik kepada Najib Razak
Beliau membuat pendedahan itu dalam buku “Final Reckoning: An Insider’s View of the Fall of Malaysia’s Barisan Nasional Government” yang akan berada di pasaran mulai esok.
Bose mendedahkan, perubahan kepada perisian yang memantau dan menyelaras aktiviti pilihan raya menyumbang kepada berlakunya kesilapan “maut” pada hari pengundian yang menamatkan enam dekad pemerintahan BN.
Katanya, amalan biasa ialah pasukan Wanita dan Puteri Umno akan mengunjungi hampir setiap isi rumah atau pengundi untuk menentukan sama ada mereka adalah penyokong BN iaitu putih, atau kelabu (atas pagar), atau pun hitam iaitu penyokong pembangkang.
“Data ini, bersama alamat dan nombor kad pengenalan pengundi, kemudian dimasukkan ke dalam sistem komputer berpusat canggih Umno” untuk keperluan pengangkutan penyokong BN pada hari mengundi, kata Bose.
Bose berkata, sayap Wanita dan Puteri Umno bertanggungjawab menggunakan senarai ini untuk membawa penyokong BN ke pusat mengundi bagi membuang undi.
Bagaimanapun, perubahan perisian itu pada awal 2018 menyebabkan semua pengundi, tanpa mengira parti dokongan mereka, dimasukkan dalam senarai sama.
Bose berkata senarai pengundi itu menyaksikan BN menyediakan pengangkutan percuma untuk turut membawa pengundi pembangkang ke pusat-pusat mengundi di seluruh negara.
“(Ini) bonus bagi pembangkang kerana pasukan (BN) ini telah membantu pengundi pembangkang yang tidak merancang untuk keluar mengundi, untuk bertindak sebaliknya kerana mereka (BN) menyediakan pengangkutan ke pusat mengundi,” kata Bose.
Bose berkata keadaan makin bercelaru apabila “serangan gangguan perkhidmatan” menyebabkan calon BN dinafikan akses mudah alih ke pelbagai bilik operasi dan pasukan penyelarasan.
“Kami tidak menyedari kesannya ketika itu, tetapi ia jelas membawa impak sangat serius kemudian,” katanya.
Akibatnya, ‘war room‘ BN tidak tahu keputusan sebenarnya di pelbagai kawasan sehingga larut malam.
Romen berkata BN menjangkakan kemenangan besar, berdasarkan tinjauan pengundi keluar mengundi dan unjuran, tanpa menyedari kekalahan teruk sebenarnya yang sedang dialami gabungan itu di seluruh negara.
“Angka awal tinjauan pengundi menunjukkan kemenangan ketara bagi BN, tetapi sebaik sahaja keputusan diumumkan, ia bercanggah sama sekali. Kerusi yang sebelumnya disifatkan menang mudah untuk BN, jatuh ke tangan pembangkang dengan majoriti tipis,” kata beliau.
Bose berkata BN turut tewas di hampir semua kerusi yang disaingi hebat oleh pembangkang.
“Menjelang 10 malam, ternyata BN bergelut membentuk kerajaan, walaupun undi untuk lebih 1/3 daripada keseluruhan kerusi belum dikira. Jelas, BN terjejas teruk dan tak mungkin dapat bertahan,” kata beliau.
Pada malam bersejarah itu, BN sekadar memenangi 79 kerusi pada malam itu, berbanding 133 kerusi yang diraihnya pada 2013.
Tempahan awal untuk buku Bose, yang juga bekas wartawan agensi berita Perancis, AFP, boleh dibuat melalui kedai buku ini:
Petikan daripada buku itu disiarkan dengan kebenaran Penguin Random House SEA.