Rakyat Sarawak sedia berubah, pengundi luar perlu pulang realisasikan impian

 


Pihan Raya Negeri (PRN) Sarawak kali ini dijangka akan mencatat sejarah kebangkitan rakyat untuk berubah selepas 58 tahun diperintah oleh GPS tanpa pembangunan yang nyata.


Menurut Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun, tanda tanda angin perubahan mula merobah pemikiran pengundi telah kelihatan.


Cuma, katanya, jentera KEADILAN perlu bekerja keras untuk memastikan para pengundi keluar mengundi pada 18 Disember ini.


"Saya terima maklumat dari teman teman yang lama di sini, ada potensi yang baik. Saya rasa KEADILAN mempunyai pengaruh yang agak baik, mempunyai pendukung parti yang setia.


"Saya yakin dengan adanya sokongan (untuk berubah) ini, pastinya mereka akan bersungguh sungguh memastikan parti kita mendapat kemenangan," katanya.


Beliau yang telah berkunjung ke Sarawak kali keempat bersama sama jentera Negeri Sembilan berkata, telah berlaku gelombang kesedaran dalam kalangan pengundi yang kuat berbanding beberapa siri PRN yang lepas.


Beliau amat berharap pengundi yang bekerja di luar Sarawak dapat pulang untuk membantu pengundi tempatan merealisasikan impian mereka untuk melantik kerajaan baharu mentadbir negeri


"Saya mendapat taklimat ini peluang terbaik kita. Di mana saya dimaklumkan sebahagian besar rakyat Sarawak bersedia untuk berubah.


"Ini merupakan satu petanda yang besar bagi masyarakat Sarawak. Saya menyeru seluruh pengundi Sarawak (bekerja di luar untuk) balik dan menentukan masa hadapan tuan tuan sendiri," katanya.

No comments: