Najib dikelilingi ‘Yes-men’ sorok kebenaran sehingga BN tumbang, kata bekas pembantu


Bekas pembantu Najib Razak berkata Najib hanya diberikan maklumat
 dan liputan yang positif, menyebabkan beliau tidak menyedari rasa
 tidak puas hati rakyat yang semakin meluas. (Gambar Bernama)


PETALING JAYA: Penjawat awam, polis Cawangan Khas dan pemimpin Umno yang rapat dengan Najib Razak “menyorok” maklumat mengenai rasa tidak puas hati rakyat daripada beliau sehingga menyumbang kepada kekalahan mengejut Barisan Nasional pada PRU14, menurut bekas pembantunya.

Dalam bukunya yang akan dilancarkan esok, Romen Bose berkata Najib hanya diberikan maklumat dan liputan yang positif, menyebabkan beliau tidak menyedari rasa tidak puas hati rakyat yang semakin meluas.

“Najib kerap kali tidak dibekalkan maklumat dan risikan tepat. Jabatan hal ehwal khas, polis Cawangan Khas dan pemimpin Umno tertentu tidak memberikan gambaran yang tulen dan benar.

“Najib dikecewakan oleh ramai ‘yes-men’ yang mengelilinginya, mereka setia tetapi menyorok sentimen sebenar (rakyat) di lapangan,” kata Bose dalam buku berjudul “Final Reckoning: An Insider’s View of the Fall of Malaysia’s Barisan Nasional Government” yang akan berada di pasaran mulai esok.

Romen Bose.

“Sebagai pemimpin, tentunya beliau bergantung kepada orang-orang ini untuk memberikan maklum balas tepat, tetapi hakikatnya mereka hanya menyampaikan maklum balas positif,” tambah beliau.

Sebagai perunding komunikasi politik kepada perdana menteri ketika itu, Bose kerap berusaha membekalkan Najib dengan hasil kajian dan analisis yang lebih tepat.

Bagaimanapun, Bose berkata, kesahihan penilaian negatif yang dibekalkan beliau cepat dipertikaikan kerana ia bercanggah dengan segala berita baik yang diterima oleh perdana menteri daripada sumber lain.

“Inilah yang berlaku pada 9 Mei 2018 (hari mengundi) apabila sehingga 7 malam, pemimpin parti masih menyuap Najib dengan laporan positif walaupun ia langsung tidak menggambarkan realiti di lapangan,” kata Bose.

Orang baik hati yang dieksploitasi pelbagai pihak

Romen berkata ramai pegawai di Pejabat Perdana Menteri ketika itu mengambil kesempatan daripada budi pekerti Najib yang baik. Mereka sering mengambil tindakan bercanggah dengan kemahuan Najib kerana yakin tidak akan dipecat olehnya.

Justeru, menurut buku itu, tindakan mereka sering meletakkan Najib dalam keadaan kesulitan kerana terpaksa menyelesaikan masalah orang lain.

“Najib (juga) sentiasa bersifat ‘gentleman’ dan tidak percaya kepada penggunaan taktik curang (terhadap musuh). Beliau lebih cenderung menggunakan fakta dan data untuk menangkis apa-apa dakwaan, bukannya merosakkan reputasi seseorang,” kata Bose.

Bose turut mendedahkan beberapa pegawai bertindak bersendirian untuk menyerang ahli pembangkang yang menyasarkan Najib.

“Pegawai-pegawai ini mempergunakan nama Najib dengan sewenang-wenangnya, tanpa pengetahuan beliau, yang mencetuskan beberapa episod menyedihkan, termasuk serangan terhadap pemimpin pembangkang dan aktivis.

“Apabila operasi mereka gagal, sebagaimana yang lazim berlaku dan diketahui Najib, mereka akan dipanggil dan dimarah oleh beliau. Namun, Najib tidak mengambil keputusan untuk memecat mereka,” menurut buku itu.

“Kesopanan Najib ini memberi laluan kepada pegawai-pegawai ini untuk meneruskan agenda peribadi mereka kerana menyedari bos mereka boleh dieksplotasi disebabkan beliau terlampau baik dan tidak sampai hati memecat mereka.

“Mereka sering memperalatkan rasa murah hati Najib untuk keuntungan diri,” kata Bose dalam bukunya.

Tempahan awal buku nukilan Bose boleh di dapati di kedai berikut:

Kinokuniya
MPH
Popular

Petikan daripada buku itu disiarkan dengan kebenaran Penguin Random House SEA.


No comments: