Makan guna ‘chopstick’ tak jadikan rakyat hilang jati diri, Guan Eng beritahu Dr M
PETALING JAYA: Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng mengecam kenyataan bekas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mengenai penggunaan penyepit sebagai analogi untuk menggambarkan kegagalan kaum Cina untuk berasimilasi di negara ini.
Semalam, Mahathir berkata orang Cina telah mengekalkan budaya dan cara hidup mereka di Malaysia, dengan menyebut penggunaan penyepit dan bukannya “mengguna pakai cara rakyat Malaysia” dengan tangan.
Dalam kenyataan, Lim memberitahu Mahathir bahawa orang bukan Melayu perlu disepadukan, bukan diasimilasikan, ke dalam Malaysia, sambil menambah bahawa komen Pengerusi Pejuang itu adalah mudah dan menyinggung perasaan orang Cina.
“Adakah ini bermakna orang Melayu yang menggunakan penyepit atau garpu dan sudu hilang kemelayuannya? Malah, ramai rakyat Malaysia dan Barat bukan Cina berbangga dengan keupayaan mereka menggunakan kedua-duanya tanpa kehilangan identiti kebangsaan mereka.
“Mahathir perlu diingatkan bahawa negara seperti Jepun, Korea Selatan dan Vietnam juga menggunakan penyepit. Sebagai penyokong dasar Pandang ke Timur yang merangkumi negara-negara ini, beliau tidak pernah menjadikan makan menggunakan penyepit sebagai isu.
“Makan dengan penyepit tidak menjadikan sesiapa kurang Malaysia. Rakyat Malaysia berketurunan Cina yang dilahirkan di sini bangga dengan Malaysia dan tidak berhasrat untuk kembali ke negara China yang berkembang dengan kekayaan dan kemakmuran, walaupun diberi peluang untuk berbuat demikian,” katanya.
Ahli Parlimen Bagan itu juga berkata sumbangan komuniti Cina tidak seharusnya dipertikaikan semata-mata kerana perbezaan bahasa dan adat yang mereka amalkan.
“Membantu satu atau dua taikun Cina adalah seperti membantu mana-mana taikun dari kaum lain dan tidak boleh disamakan dengan membantu komuniti Cina,” tambahnya.