Pas hilang peluang bertapak di Melaka bila guna lambang PN

 Shahbudin-embun

By

 Nizam Zain

 -

 3 November 2021

 

KUALA LUMPUR – Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka merupakan medan terbaik untuk mengukur kekuatan parti politik sebelum menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dari segi strategi dan kerjasama politik sebenar.

Penganalisis politik, Shahbudin Embun berkata, keputusan Pas menggunakan lambang Perikatan Nasional (PN) dalam PRN Melaka hanya meleburkan peluang parti Islam itu bertapak di Melaka.

“Pas dilihat lebih selesa bersama PPBM berbanding UMNO walaupun terpaksa tidak menggunakan lambang bulan yang menjadi tradisi puluhan tahun.

“Pencapaian Pas di Melaka dalam PRU-14 pun tidak begitu memberangsangkan. Pas tidak menang walau satu kerusi pun. Mereka hilang wang pertaruhan di semua tempat yang ditandingi kecuali tiga kawasan.

“UMNO-BN dijangka menang selesa jika bersama Pas dalam Muafakat Nasional (MN). Begitu juga Pas dijangka dapat buat pertama kali bertapak dalam DUN Melaka sekiranya bekerjasama dengan UMNO-BN,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Pas membuat keputusan untuk menggunakan lambang PN dalam PRN Melaka pada 20 November ini.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, penggunaan lambang itu dimuktamadkan pada Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, semalam.

Beliau berkata, ketetapan itu juga mengambil kira pandangan Majlis Syura Ulama Pas yang bersidang semalam.

Dalam pada itu, Shahabudin berkata, walaupun Pas tidak lagi bersama UMNO dalam MN namun jangan sampai menjadi permusuhan kerana kedua-dua parti itu mewakili majoriti pengundi Melayu Islam di negara ini.

“Bertandinglah secara berhemah kerana dalam politik, apa-apa pun boleh berlaku pada masa yang akan datang demi ukhwah Islamiyyah,” katanya.

Katanya, sejak tahun lepas, Pas sudah memberi bayangan bahawa parti itu akan bersama PPBM dalam gabungan PN, namun UMNO masih menaruh harapan agar Pas mengubah pendirian.

“Terdapat juga segelintir akar umbi kedua-dua parti tersebut masih menaruh harapan agar MN dapat direalisasikan pada hari mendatang terutama pada PRU-15 kelak,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

 


No comments: