MACAM BAGUS NAK MAIN 2 KOLAM . PAS sasar PRU15 dengan percaturan di Melaka...Owhh macam tu ya..bukan lihat kekuatan sendiri..tetapi lihat kerjasama PN menguntungkan Pas atau tidak.

 

PAS berpihak kepada Perikatan Nasional untuk memenangi hati Bersatu dan mengukuhkan kedudukan ke atas Umno apabila rundingan kerusi pilihan raya umum diadakan, kata sumber.

PETALING JAYA: Walaupun PAS mengumumkan akan bertanding menggunakan lambang Perikatan Nasional (PN) dalam pilihan raya negeri (PRN) Melaka, parti itu tidak berhasrat memutuskan hubungannya dengan Umno dalam gabungan Muafakat Nasional, menurut sumber yang rapat dengan perkembangan itu.

Sebaliknya beliau berkata, PAS sedang “mendekati” Bersatu dalam PN dalam usaha meneutralkan Umno sekali gus mendapat kelebihan apabila perbincangan mengenai agihan kerusi pilihan raya umum ke-15 (PRU15) diadakan.

Sumber memberitahu FMT, tidak seperti di Kelantan atau Terengganu, PAS kurang mendapat sambutan di Melaka dan parti itu tidak akan rugi apa-apa.

Dengan bekerjasama dengan Bersatu, PAS boleh memperoleh kedudukan yang lebih baik ketika berunding mengenai kerusi PRU15 dengan Umno yang lebih kuat.

PAS berharap dapat menyampaikan mesej bahawa ia boleh bekerjasama dengan PN pada PRU15 yang boleh membawa kepada pertembungan satu lawan satu dengan Umno, seterusnya mengancam dominasi parti Melayu itu di kawasan yang dimenanginya dengan majoriti tipis pada PRU14.

“PAS sedang mencari jalan untuk berada di kedudukan yang lebih kuat dalam perbincangan agihan kerusi dalam Muafakat Nasional untuk PRU15,” menurut sumber.

Beliau berkata, dengan bekerjasama dengan PN di Melaka sebagai permulaan, PAS juga berharap dapat mengelakkan pertembungan satu lawan satu dengan Bersatu pada PRU15.

Ini berkemungkinan menyebabkan Bersatu dan Umno berdepan antara satu sama lain pada PRU15, sekali gus menjadikan PAS bebas untuk bertanding hanya dengan pembangkang di kerusi yang dikuasainya.

PAS berkemungkinan perlu berdepan dengan Umno di Perak, Perlis, Kedah dan Terengganu, di mana Umno mahukan kerusi yang lebih banyak.

Kedua-dua PAS dan Umno percaya ia boleh menawan Kedah dan Terengganu dan pada masa sama Umno kini bergerak menempatkan “orang penting” mereka di Terengganu.

“Umno sudah mula bekerja meletakkan ‘orang mereka’ di Terengganu untuk menawan negeri itu.

“Kedua-dua PAS dan Umno mahukan orang mereka sebagai Menteri Besar. Terengganu adalah penghalang utama rundingan antara Umno dan PAS,” katanya.

Jika PAS lemah, ia mungkin terpaksa mengalah, kata sumber itu dengan menambah bahawa percaturan di Melaka mungkin menguatkan kedudukan parti Islam itu.

PAS berharap jadi ‘kingmaker’

Ahli akademik Azmi Hassan bersetuju bahawa PAS mahu mengukuhkan kedudukannya berbanding Umno.

“PAS tahu Umno mahu bekerjasama dengannya semasa PRU15 bagi memenangi semula kerusi yang hilang dengan majoriti tipis pada PRU14 lalu,” katanya kepada FMT.

Katanya, Muafakat Nasional berkemungkinan akan diteruskan kerana Umno mahu menggunakan PAS bagi memikat pengundi atas pagar, manakala PAS mahu mendapatkan lebih banyak kerusi Melayu.

Bagaimanapun katanya, PAS berkemungkinan terpaksa mengalah kerana usahanya dengan Bersatu mungkin tidak berjaya.

“Bersatu tidak mendapat sokongan akar umbi,” kata Azmi.

No comments: