By Muhammad Azizul Osman - 19 October 2021
Bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron (tengah)
bercakap di sidang media bersama ADUN Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan
Baktee (kiri) dan ADUN Telok Mas, Datuk Noor Effandi Ahmad (kanan) ketika di
Hotel Casa Del Rio, Melaka. Foto MOHD ADZLAN, 05 OKTOBER 2021.
MELAKA – Perjumpaan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim
bersama-sama ahlinya di sebuah hotel di sini turut dihadiri empat Ahli Dewan
Undangan Negeri (ADUN) Melaka yang bertindak menarik sokongan terhadap Ketua
Menterinya, Datuk Sulaiman Md Ali.
Kehadiran keempat-empat mereka iaitu ADUN Sungai Udang, Datuk
Seri Idris Haron; ADUN Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan; ADUN Pengkalan
Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee dan ADUN Telok Mas, Datuk Noor Effandi Ahmad
menguatkan lagi dakwaan bahawa mereka akan menyertai Pakatan Harapan (PH).
Anwar yang tiba pada jam 8.15 malam
diiringi Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Melaka, Adly Zahari dan Naib Presiden
PKR, Tian Chua.
Manakala keempat-empat ADUN itu tiba selang 15 minit kemudian
dengan diketuai Idris.
Anwar dijangka akan menyampaikan amanat kepada ahli-ahli PKR di
negeri ini selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan 20 November depan
sebagai tarikh mengundi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Malah petang tadi, Adly berkata, PH
Melaka sudah mempunyai bayangan barisan calon bagi menghadapi PRN ini.
Adly berkata, pada awalnya persiapan berkenaan adalah bagi
menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 namun pihaknya akan menggunakan
persiapan tersebut bagi menghadapi PRN Melaka.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Abdul Ghani
Salleh hari ini menetapkan tarikh PRN Melaka pada 20 November depan manakala
penamaan calon pada 8 November dan undi awal diadakan pada 16 November depan.