5 DALIL UTAMA MENGAPA PH HARUS MENOLAK UNTUK MENCALONKAN 4 ADUN LOMPAT DI MELAKA

 

PRN Melaka telah ditetapkan pada 20 November 2021. Meskipun PH berhempas pulas berusaha untuk mengelakkan Pilihanraya Negeri diadakan pada waktu pandemik Covid melanda, namun Umno pula berusaha sedaya upaya untuk mengadakan pilihanraya juga hanya kerana tidak mahu PH menguasai kerajaan negeri Melaka sahaja setelah Bn/Umno hilang majoriti.
PH di dalam perasaan yang berat hati dan penuh kekesalan terpaksa juga bertarung di dalam PRN ini apatah lagi inilah satu-satunya peluang untuk PH mengambil kembali mandat rakyat pada PRU14 yang telah dikhianati.
Saya percaya, majoriti rakyat terutamanya pengundi-pengundi di Melaka tidak akan merestui mana-mana pihak samada dari PH atau Bn/Umno untuk memberikan muka kepada 4 Adun yang telah mencetuskan suasana buruk sekarang. Terutamanya PH, kita adalah gabungan yang terkenal berpegang kepada prinsip. Sehubungan itu, atas dasar prinsip kita mendesak agar PH tidak akan memberikan laluan kepada 4 Adun berkenaan.
Berikut adalah 5 dalil utama mengapa PH wajib menolak dari mencalonkan mereka:
1. Keempat-empat Adun tersebut telah mengkhianati mandat rakyat pada PRU14 yang lalu sehingga bersubahat menjatuhkan kerajaan PH. Apakah PH menyanjung pengkhianat?
2. Keempat-empat Adun ini melakukan pengkhianatan kali kedua apabila mengkhianati parti masing-masing. Apakah jaminan mereka tidak khianat untuk kali ketiga?
3. Telah tersebar tentang berbagai perbualan telefon keempat-empat Adun berkenaan sesama mereka dan dengan pihak lain termasuk dikatakan dengan PM, dan dari perbualan tersebut terdengar kata-kata tentang wang sogokan jutaan ringgit. Perbualan salah seorang Adun yang dikatakan dengan PM itu menyebut tentang hajatnya untuk menjadi KM. Kesemua perbualan tersebut hanya berkitar soal wang ringgit dan jawatan. Apakah PH rela memberi sokongan kepada orang-orang seperti ini?
4. Imej PH akan terjejas untuk menghadapi PRU15 akan datang sekiranya dicemari dengan kehadiran 4 Adun yang khianat ini.
5. Sekiranya PH menerima mereka, tindakan PH ini akan menjadi kelaziman di masa-masa akan datang dan PH akan dilihat begitu murah nilainya.
Sehubungan itu, PH harus dilihat lebih tegas dengan para pengkhianat agar ianya menjadi satu pengajaran kepada semua Wakil Rakyat kita di masa akan datang.


WFAUZDIN NS



No comments: