Anwar nasihatkan penggerak jentera PKR, PH utamakan nasib rakyat

 


Oleh FAZLI RADZI / October 19, 2021

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu jentera pilihan raya Pakatan Harapan (PH) bersiap siaga untuk berdepan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Pengerusi PH itu berkata hal tersebut perlu dilakukan walaupun pembangkang kurang bersetuju dengan keputusan mengadakan PRN.

Presiden PKR itu berkata, walaupun PH kurang bersetuju dengan pengumuman Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) itu, jentera pilihan raya parti perlu membuat persiapan bagi berdepan kemungkinan PRN diadakan.

“Saya nasihatkan kepada penggerak jentera PKR dan PH untuk mengutamakan nasib rakyat pelbagai kaum yang melarat saat ini. Jadi, ayuh kita selamatkan Melaka!,” katanya melalui Twitter beliau hari ini.

Anwar turut memaklumkan, beliau semalam sudah mengadakan sesi penerangan dengan pimpinan dan jentera PKR Melaka berhubung pengumuman SPR itu.

Semalam, SPR menetapkan 20 November ini sebagai hari pengundian bagi PRN Melaka, manakala hari penamaan calon adalah pada 8 November dan tarikh mengundi awal pada 16 November.

Majlis Presiden PH dalam satu kenyataan selepas itu memaklumkan, mereka kurang bersetuju dengan pengumuman berkenaan.

Mereka berpandangan, ia bukan masa paling sesuai untuk mengadakan PRN berikutan penularan Covid-19 baru menunjukkan trend penurunan, sektor ekonomi baru dibuka semula dan kerisauan terhadap gelombang keempat penularan.

No comments: