Akhirnya SPR menetapkan PRN Melaka akan diadakan pada 20 November depan dengan tarikh penamaan calonnya ialah pada 8 November.
Walaupun PRN bukanlah keinginan banyak pihak memandangkan wabak Covid19 belum pulih sepenuhnya, tetapi berikutan DUN Melaka telah dipersetujui dibubarkan oleh TYT Tun Ali Rustam setelah dinasihati oleh Ketua Menteri, Sulaiman Md Ali, maka mengadakan pilihanraya adalah pilihan yang tidak dapat dielakkan lagi sebenarnya, kecuali dengan mengisytiharkan darurat saja dapat menangguhkannya.
Blog ini dalam beberapa artikelnya sebelum ini menekankan perlunya PRN diadakan di Melaka sesuai dengan DUN negeri yang telah dibubarkan itu.
Setidak-tidaknya mengadakan PRN lebih baik berbanding jika darurat dilaksanakan yang tujuannya tidak lain hanya untuk menangguhkan pilihanraya daripada diadakan buat tempoh tertentu.
Dalam hal ini, Ismail Sabri Yaakob bolehlah diberi sedikit pujian kerana tidak meniru langkah Mahiaddin Md Yasin dengan tidak mencadangkan darurat bagi tujuan untuk meletakkan UMNO kekal bertahan lagi dengan kuasanya di Melaka.
Beliau dengan ini lebih berani berbanding Mahiaddin dalam berdepan realiti dan cabaran politik.
Tambahan lagi, nampak pelik sangat bunyinya jika darurat dilakukan kerana pembubaran DUN Melaka adalah pilihan kerajaan negeri yang diterajui UMNO, manakala jika darurat dilaksanakan, ia juga adalah pilihan kerajaan pusat yang dikuasai UMNO.
Dengan adanya PRN Melaka ini, selain memberi peluang kepada rakyat negeri itu membuat pilihan kerajaan negeri baru yang mereka mahukan, ia juga adalah ujian bagi parti-parti yang bertanding mempertaruhkan nasib mereka.
Jika tiada kerjasama antara mana-mana parti, misalnya UMNO dengan Pas atau UMNO dengan Bersatu, persaingan tiga penjuru antara BN, PN dan PH dijangka akan menjadi medan menguji kekuatan masing-masing.
Di sinilah nanti akan dinilai kekuatan dan penerimaan rakyat bukan saja untuk membentuk kerajaan baru di Melaka, malah sebagai ujian awal bagi persediaan menghadapi PRU15.
Dalam hal ini, selain PRN Melaka penting untuk PH, ia juga amat penting bagi BN dan PN untuk menghadapi PRU15 akan datang.
Katalah jika PH berjaya kembali membentuk kerajaan di Melaka, ia adalah gambaran atau isyarat cerahnya masa depan Anwar Ibrahim untuk menjadi Perdana Menteri selepas PRU15 nanti.
Sebab itu, dalam hal ini ada baiknya PH Melaka membatalkan saja hasrat untuk mencabar ke mahkamah pembubaran DUN bagi menghalang PRN Melaka daripada diadakan, sebaliknya jauh lebih penting untuk mereka menumpukan segala perhatian dan kekuatan untuk mencapai kemenangan di hari pengundian akan datang.
Membawa ke mahkamah untuk menghalang PRN setelah SPR menetapkan tarikh pilihanraya hanya memperlihatkan PH Melaka takut atau tidak sedia menghadapinya.
Ingatlah pemimpin atau parti yang penakut tidak akan menjadi pilihan pengundi untuk dipilih menjadi kerajaan.
Andai kata UMNO dan BN pula yang berjaya memenangi PRN Melaka tanpa perlu bekerjasama dengan Pas atau Bersatu, maka ia juga menandakan masa depan yang cerah bagi gabungan tersebut.
Ia sekaligus akan meletakkan UMNO tidak memerlukan lagi kerjasama dengan Pas dan Bersatu dalam PRU15 akan datang nanti.
Bagi PN pula, memang tidak nampak ada peluang untuk mereka menang di Melaka ini dan jika kalah meskipuj bersama dengan Pas, maka pandai-pandailah untuk hidup dan mencari talian hayat baru bagi menghadapi PRU15.
Sedemikian itu, adalah penting bagi BN, PH dan dan PN bertanding secara sendirian dan berdasarkan kekuatan masing-masing dalam PRN Melaka ini. –
ShahbudinHusin 18/10/2021.