Kenyataan Media Bersama Parti-Parti Pembangkang 1 Ogos 2021

1 Ogos 2021

 

PEMBANGKANG JUNJUNG TITAH TUANKU, PERDANA MENTERI DAN KABINET MESTI LETAK JAWATAN

 

Kami menjunjung kasih ke atas titah pandangan KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong seperti yang terkandung di dalam kenyataan media Istana Negara pada 29 Julai lalu.

 

Kami amat terkejut bahawa Seri Paduka Baginda telah menzahirkan rasa amat dukacita kerana apa yang telah diperkenan dan dititahkan kepada YB Datuk Seri Takiyuddin bin Hassan dan YBhg Tan Sri Idrus bin Harun semasa majlis menghadap secara maya pada 24 Julai bahawa cadangan pembatalan semua Ordinan Darurat dibentang dan dibahaskan di Parlimen bagi tujuan diungkaikan telah tidak dilaksanakan.

 

Kami juga amat terkejut bahawa Seri Paduka Baginda telah menegaskan bahawa kenyataan YB Datuk Seri Takiyuddin bin Hassan di Parlimen pada 26 Julai adalah tidak tepat dan telah mengelirukan Ahli-Ahli Dewan Rakyat.

 

Memandangkan keputusan untuk tidak membentang dan membahas semua Ordinan Darurat seperti yang telah diperkenan dan dititahkan Seri Paduka Baginda adalah keputusan Jemaah Menteri maka, berdasarkan Perkara 43(3) Perlembagaan Persekutuan, seluruh Jemaah Menteri bertanggungjawab secara bersama ke atas krisis Perlembagaan yang telah berlaku ini.

 

Kami merakamkan kekesalan dan bantahan keras terhadap keputusan Perdana Menteri mengarahkan pengangguhan sidang khas Isnin 2 Ogos ini walaupun jumlah kes positif membabitkan Parlimen hanya 0.9% setakat 29 Julai. 

 

Tindakan penangguhan ini langsung tidak menghormati Perlembagaan Persekutuan, proses demokrasi berparlimen dan terus membelakangi kenyataan media Istana Negara.

  

Oleh yang demikian, kami bersependapat bahawa YAB Tan Sri Mahiaddin bin Md Yassin dan seluruh Jemaah Menteri mesti meletakkan jawatan secara terhormat sekarang.

 

Anwar Ibrahim 

(Parti Keadilan Rakyat, KEADILAN)

 

Mohamad Sabu

(Parti Amanah Negara, AMANAH)

 

Lim Guan Eng 

(Parti Tindakan Demokratik, DAP)

 

Wilfred Madius Tangau

(Pertubuhan Kinabalu Progresi Bersatu, UPKO)

 

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman

(Parti Ikatan Demokratik Malaysia, MUDA) 

 

Baru Bian

(Parti Sarawak Bersatu, PSB)

 


No comments: