Dr Lee Boon Chye menyifatkan penularan kes pandemik Covid-19 hanya
dijadikan sebagai alasan untuk menangguhkan sidang Parlimen.
Ahli Parlimen Gopeng itu berkata, perkara itu tidak munasabah
kerana Covid-19 juga digunakan sebagai alasan untuk memproklamasikan darurat,
namun kes baru setiap hari meningkat dengan cepat dari kurang 3,000 kes pada
Januari 2021 menjadi lebih dari 17,000 kes ketika ini.
"Kemudian Covid-19 digunakan lagi untuk menangguhkan
persidangan Parlimen selama berbulan-bulan, bermakna langsung tidak ada usaha
untuk meningkatkan tahap keselamatan bangunan Parlimen.
"Sekarang Covid-19 digunakan untuk menunda persidangan
Parlimen yang sedang berlangsung pada saat genting ketika Perdana Menteri
berada di bawah tekanan yang luar biasa, berdasarkan kenyataan-kenyataan dari
Istana Negara di Parlimen," katanya.
Beliau juga berpendapat terdapat banyak lagi alasan mengapa sidang
Parlimen tidak wajar untuk ditangguhkan.
"Kompleks Parlimen tidak berada di bawah PKPD. Ia tidak
seharusnya berlaku kerana Parlimen bukan kawasan perumahan dan struktur fizikal
di Parlimen harus bebas virus dalam 72 jam dengan atau tanpa sanitasi.
"Tidak ada Ahli Parlimen yang hadir mempunyai kontak rapat
dan tidak ada yang diberi perintah kuarantin. Mereka tidak berisiko tinggi
menular virus. Menteri-menteri terutamanya masih mengadakan pertemuan dan
menghadiri program.
"Hampir semua Ahli Parlimen diberi vaksin dan kesemuanya
menjalani 2 ujian Covid-19 negatif berturut-turut, iaitu RTK-PCR pada 23/7/2021
dan ujian RTK-Ag Saliva pada 29/7/2021.
"Risiko menyebarkan Covid-19 atau dijangkiti di Parlimen jauh
lebih rendah daripada pergi ke Mega Vaccination Centres (PPV). Lebih rendah
daripada pergi ke kedai runcit tempatan anda," katanya.
Justeru, beliau menganggap Perdana Menteri boleh memerintahkan
Speaker untuk menangguhkan mesyuarat parlimen yang sedang berlangsung tanpa
perlu memberikan apa-apa alasan.
"Membenarkan Perdana Menteri menggunakan Covid-19 sekali lagi
membawa seluruh kakitangan kesihatan ke tahap yang memalukan," katanya.