Dihalang masuk Parlimen, MP buat laporan polis

 


Berikutan tindakan pihak keselamatan yang menghalang Ahli Parlimen memasuki Parlimen pagi tadi dua Ahli Parlimen PKR telah membuat laporan polis di di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.

Laporan telah dibuat oleh Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasrullah Nasir dan Ahli Parlimen Baru, P. Prabakaran.

Akmal menegaskan laporan berkenaan dibuat kerana hak mereka untuk memasuki bangunan tersebut dihalang.

Katanya, sebagai ahli Parlimen tambahan pula tugas mereka bukan hanya ketika persidangan tetapi ada prosiding lain seperti Mesyuarat Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

“Kakitangan Parlimen misalnya dibenarkan masuk ke bangunan tersebut pagi tadi.

“Parlimen perlu bersidang bagi membolehkah Ahli Parlimen dan kerajaan menjalankan fungsi yang diperuntukan Perlembagaan Persekutuan.

“Individu-individu berkenaan yang memberi arahan bagi memaksa, halang atau menyekat MP hadir ke Parlimen telah melakukan kesalahan.

“Seksyen 124 Kanun Keseksaan iaitu serang, halang atau takutkan dengan kekerasan terhadap MP daripada menjalankan kuasa MP yang sah di sisi undang-undang,” katanya kepada media.

Katanya, dengan laporan ini biarlah siasatan dilakukan iaitu siapa yang mengarahkan pihak keselamatan halang mereka.

Beliau turut memberi peringatan mana-mana pihak yang memberi arahan menghalang mereka masuk ke Parlimen perlu bertanggungjawab sama ada masalah COVID-19 atau MP dipanggil untuk siasatan.

“Kami jalankan tanggungjawab kami walaupun dihalang kita teruskan juga, ini tanggungjawab.

“Kami mengharapkan biar polis buat siasatan pihak mana yang menghalang kami menjalankan tugas,” katanya.

Hari ini sepatutnya menjadi hari terakhir sidang khas Dewan Rakyat, namun pihak Parlimen menangguhkannya mengikut nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ekoran penularan kes COVID-19 di bangunan itu.

No comments: