“PN IBARAT KAPAL PECAH, UMNO BAKAL KELUAR KERAJAAN 7 JULAI”

 

1.. Esok bertarikh 7 Julai 2021, iaitu tempoh tarikh 14 hari yang dimuktamadkan oleh Presiden UMNO dengan sokongan majoriti MKT UMNO untuk mengumumkan keluar daripada Kerajaan Perikatan Nasional. 

2. Berbagai spekulasi kita baca dalam media sosial dan ulasan serta berbagai propaganda politik oleh pihak-pihak yang berkepentingan, serta berita hangat pertemuan-pertemuan pemimpin-pemimpin dan Ahli-ahli Parlimen UMNO, siang dan malam di musim PKP, namun saya percaya esok 7 Julai 2021, Presiden UMNO akan umum keluar daripada kerajaan PN. Ini ramalan dan logik akal fikiran politik saya yang cetek ini. 

3. Kenapa saya berpendapat demikian? Sebabnya nahkoda kapal tidak mampu lagi dengan kapalnya yang terus dilambung ombak dan dikatakan flip-flop. Presiden UMNO sudah ada watikah untuk keluar daripada PN daripada mandat PAU 2020 dan keputusan majoriti MKT UMNO.

4. Rakyatpun sudah naik jemu riuh rendah politik UMNO yang tidak sudah-sudah.

5. Kerajaan PN pun dalam keadaan kapal yang pecah. Walaupun bermacam pengumuman dengan berbagai dasar yang diumum, namun pelaksanaannya dan hasilnya menjadi ejekan rakyat. Bendera putih, bendera hitam dan ramai yang bunuh diri menyebabkan umum berpendapat kerajaan gagal.

Termasuk bendera hijau yang usung janda, bercerai atas talian dan kawinpun atas talian dengan Imam Thailand kerana Imam Malaysia tidak ada tauliah yang belum terjamin masuk syurga.

Malaysia sudah jadi negara komedi. Semua ini mesti dihentikan segera.

6. PRU-15 tidak mungkin dapat diadakan dengan segera akibat Covid-19. Jika Kerajaan PN runtuh, terpulanglah kepada kebijaksanaan DYMM Tuanku YDP Agong untuk melantik PM ke-9 untuk memimpin negara.

7. Sama-sama kita berdoa semoga DYMM Tuanku Agong dan DYMM Raja-raja Melayu bersemayam di singgahsana dengan penuh daulat dan berkat petunjuk Allah, membawa negara keluar dari kemelut politik, melawan Covid-19 dengan berkesan dan memulih ekonomi dan kehidupan rakyat yang sedang menderita.

DAULAT TUANKU. 

PUTRA PERKASA NEGARA

Terima kasih. 

Dato Paduka Dr. Ibrahim Ali

Presiden PUTRA.


No comments: