Tambah bilangan sidang Parlimen, saran ketua setiausaha sulit PM


Marzuki Mohamad berkata tambahan bilangan sidang Parlimen beri Ahli Parlimen lebih masa untuk berkhidmat sebagai penggubal dasar. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri Marzuki Mohamad mahu Putrajaya mempertimbangkan untuk menambah bilangan sidang Parlimen, dengan berkata, ini akan meningkatkan kecekapan proses Parlimen.

Katanya, walaupun tidak ada bilangan hari bersidang yang ideal kerana ia bergantung kepada bilangan isu, rang undang-undang dan usul untuk dibincangkan dan dibahaskan, Ahli Parlimen perlu lebih masa untuk menjalankan peranan mereka sebagai penggubal undang-undang sementara melaksanakan kewajipan lain di kawasan atau kementerian mereka.

“Ahli Parlimen berperanan penting sebagai penggubal undang-undang, tetapi pada masa sama, mereka ada tanggungjawab untuk berkhidmat kepada pengundi, seperti mengagihkan bakul makanan, terutamanya ketika wabak. Ini memakan kebanyakan masa mereka.

“Dengan menambah bilangan sidang, Ahli Parlimen akan ada lebih masa untuk memainkan peranan mereka sebagai penggubal undang-undang,” katanya dalam sebuah webinar bertajuk “Should Parliament Be a Full-Time Institution” (Perlukah Parlimen Menjadi Institusi Sepenuh Masa), yang dianjurkan oleh Pusat Jeffrey Sachs hari ini.

Katanya, Ahli Parlimen akan mengajukan banyak soalan ketika sidang namun hanya sebahagian kecil dapat dijawab menteri-menteri berkenaan dan timbalan mereka kerana kekangan masa.

“Bagaimanapun, jika ada tempoh yang lebih panjang, lebih masa, lebih banyak soalan dapat dijawab.

Beliau turut menggesa teknologi diadaptasi ke dalam proses Parlimen, dengan berkata, ini akan memperhebat proses demokrasi di negara ini.

Katanya, sidang Parlimen hibrid akan turut meningkatkan kecekapan.

“Dengan menjalankan (sidang Parlimen) secara hibrid, Ahli Parlimen tidak perlu hadir secara fizikal di Parlimen,” katanya.

“Mereka boleh berada di kawasan masing-masing sambil mengajukan soalan kepada menteri, mengambil bahagian dalam perbahasan, dan mengundi rang undang-undang.”

Tegas beliau, kualiti perbahasan perlu dipertingkat supaya Parlimen dapat memainkan peranan semak dan imbang dengan lebih baik.

Untuk berbuat demikian, beliau mencadangkan agar sesi taklimat diadakan antara kementerian-kementerian dan Ahli Parlimen sebelum sidang bermula.

“Sebelum bersidang, menteri-menteri boleh memberi taklimat kepada Ahli Parlimen berkenaan dasar-dasar terbaru dan rang undang-undang yang akan dibincangkan sewaktu sidang. Dengan cara ini, Ahli Parlimen tidak perlu menunggu waktu bersidang untuk bertanya soalan. Mereka boleh juga bertanya semasa sesi taklimat.

“Dengan sesi taklimat ini, Ahli Parlimen dapat membuat persediaan lebih baik untuk perbahasan kemudian,” katanya.


No comments: