5 hari sidang Parlimen terlalu singkat, tidak tepati titah Agong, PH beritahu Putrajaya


Ketua parti politik PH berkata Parlimen adalah medan mendengar masalah, menyuarakan rintihan dan memulihkan harapan rakyat di samping mencari penyelesaian kepada krisis negara. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) berpendapat sidang Parlimen bermula 26 Julai selama lima hari bagi Dewan Rakyat adalah terlalu singkat untuk membahaskan perkara Proklamasi Darurat, Ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara (PPN) Covid-19.

PH dalam kenyataan berkata pihaknya kesal dengan tindakan kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang hanya mahu memberi penerangan berkaitan PPN tanpa sebarang perbahasan, malah Proklamasi Darurat dan Ordinan Darurat hanya akan dibentang tanpa dibahas mahupun diputuskan.

“Ini langsung tidak menepati titah pandangan Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah. Sekiranya kerajaan PN masih ingkar titah pandangan Baginda, maka persidangan Parlimen kali ini hanyalah satu sandiwara politik dan bagai ‘melepaskan batuk di tangga’,” katanya.

Kenyataan itu dikeluarkan bersama Presiden PKR, Anwar Ibrahim; Presiden Amanah, Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Ketua parti politik PH itu berkata Parlimen adalah medan mendengar masalah, menyuarakan rintihan dan memulihkan harapan rakyat di samping mencari penyelesaian kepada krisis negara.

“Prinsip akauntabiliti dan ketulusan perlu ditegakkan dengan peranan semak dan imbang yang melibatkan semua Ahli Parlimen, dan Parlimen bukannya pentas untuk hanya mendengar kuliah menteri tanpa diberi ruang membahas,” tegas mereka.

Justeru, PH menggesa kerajaan diterajui Perdana Menteri Muhyiddin Yassin melibat uruskan pembangkang dalam merangka serta mengatur perjalanan sidang khas Parlimen, agar dapat membawa rakyat Malaysia keluar daripada krisis ekonomi dan Covid-19.

“Janganlah sehingga pihak pembangkang terpaksa mendesak sidang Parlimen Khas yang adil. Kita mesti bersama memerangi Covid-19 untuk menyelamatkan negara, dan bukannya berpolitik untuk melindungi jawatan dan kedudukan,” katanya.

Pada 5 Julai, Pejabat Perdana Menteri (PMO) berkata, Parlimen akan bersidang selama lima hari mulai 26 Julai ini, manakala Dewan Negara pula akan bersidang selama tiga hari mulai 3 Ogos.

Dalam kenyataan dikeluarkan, PMO memaklumkan kerajaan bersetuju untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong agar mesyuarat khas Penggal Ketiga Parlimen Keempat Belas diadakan selama lima hari mulai 26 hingga 29 Julai dan 2 Ogos 2021 bagi Dewan Rakyat dan tiga hari mulai 3 hingga 5 Ogos 2021 bagi Dewan Negara.

No comments: