PERLANTIKAN TIDAK IKHLAS, MAHIADDIN SAH SEDANG TERSEPIT DAN ISMAIL SABRI PUN BAKAL TERSEPIT


 Perlantikan Ismail Sabri Yaakob sebagai Timbalan Perdana Menteri yang pengumumannya hanya beberapa jam sebelum mesyuarat MT UMNO malam ini adalah jelas merupakan langkah terdesak Perdana Menteri, Mahiaddin Md Yasin untuk mempertahankan jawatannya.

Ini kerana mesyuarat MT secara dalam talian malam ini dijangka akan memuktamadkan ketetapan untuk UMNO keluar dan meninggalkan kerajaan PN dalam tempoh yang dijangka sebelum 1 Ogos depan.

Sudah tentu kerana bimbang ketetapan itu akan menyebabkan kerajaan PM tumbang dan jawatannya melayang, maka Mahiaddin bertindak lebih awal melantik Naib Presiden UMNO itu sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Makna kata, perlantikan Ismail Sabri itu hanya semata-mata kerana Mahiaddin sudah benar-benar terdesak dan tersepit kedudukannya.

Selama 17 bulan sebelum ini, oleh kerana tidak benar-benar dalam keadaan terdesak dan tersepit, tiada pernah ada terbunyi sikit habuk pun Menteri Kanan Pertahanan itu diura-urakan hendak dilantik oleh Mahiaddin sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Kenapa hanya beberapa jam sebelum mesyuarat MT UMNO baru hendak diumumkan perlantikannya?

Perlantikan tergesa-gesa ini tidak mungkin mendapat persetujuan UMNO terlebih dahulu sebagai parti yang memiliki kerusi Parlimen terbanyak dalam kerajaan PN, sebaliknya dipercayai Mahiaddin menggunakan budi bicara beliau sepenuhnya dalam berbuat demikian.

Ia tidak lain adalah semata-mata untuk menyelamatkan kedudukannya.

Ismail Sabri bukanlah dilantik untuk mewakili UMNO atau keikhlasan Mahiaddin terhadap parti itu, tetapi hanya untuk memecah-belah dan menghuru-harakan UMNO menjelang mesyuarat MT malam ini.

Jika untuk mewakili parti dan benar-benar ikhlas, selain harus berbincang dengan UMNO terlebih dahulu, jawatan Timbalan Perdana Menteri juga sepatutnya ditawarkan kepada Mohamad Hasan menduduki jawatan Timbalan Presiden UMNO sekarang ini.

Kenapa Mahiaddin mengenepikan Tok Mat Hasan?

Mengenepikan Presiden UMNO, Zahid Hamidi untuk jawatan Timbalan Perdana Menteri mungkin boleh difahami kerana kes mahkamahnya belum lagi selesai, tetapi apa alasan untuk Tok Mat Hasan diketepikan sedangkan beliau dilantik sebagai Senator bagi membolehkannya mengisi jawatan itu.

Selain itu, bukankah sudah difahami bahawa perlantikan empat menteri kanan yang dibuat Mahiaddin sebelum ini adalah sebagai ganti kerana jawatan Timbalan Perdana Menteri telah dikosongkan.

Peliknya, setelah Ismail Sabri dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri, mengapa jawatan empat menteri kanan tetap dikekalkan dengan Hishammuddin Hussein dilantik sebagai menteri kanan yang baharu?

Nampaknya dalam keadaan Covid19 yang masih menggila, bukannya Mahiaddin mahu menambah kakitangan bagi menangani wabak tersebut, tetapi terus membazirkan wang daripada titik peluh rakyat untuk kelangsungan jawatannya yang semua orang sedia maklum hanya menyebabkannya dicop sebagai Perdana Menteri yang gagal.

Dalam konteks berkaitan, UMNO sebelum ini sudah pun membuat ketetapan menolak jawatan Timbalan Perdana Menteri berikutan kedudukan parti itu dalam kerajaan PN hanyalah untuk sementara waktu sebelum PRU15 saja.

Bermakna sekarang, dengan menerima perlantikan itu, Ismail Sabri telah melanggar ketetapan MT yang beliau sendiri ada di dalamnya dalam membuat keputusan tersebut.

Sedarkah Ismail Sabri tentang hal ini atau keghairahannya ditawarkan jawatan Timbalan Perdana Menteri telah membuatkannya lupa segala-galanya?

Meskipun Ismail Sabri melalui kenyataan medianya lewat petang tadi telah menerima perlantikan tersebut, kedudukannya akan jadi tersepit jika MT UMNO malam ini membuat ketetapan untuk keluar daripada kerajaan.

Apakah Ismail Sabri mahu terus memegang jawatan itu jika setelah UMNO mengumumkan menarik diri daripada kerajaan pada malam ini nanti?

Sediakah Ismail Sabri diambil tindakan disiplin dan dipecat kerana melanggar ketetapan parti atau beliau akan segera menyertai Bersatu demi seronok dengan jawatan Timbalan Perdana Menteri yang mungkin tidak pernah terfikir akan diperolehinya?

Dalam waktu yang sama, jika dengan ingkar ketetapan parti, kemudian dipecat dan seterusnya memilih menyertai Bersatu, mampukah Ismail Sabri mengekalkan kemenangannya di Parlimen Bera, Pahang dalam PRU15 akan datang?

Walaupun ternampak Mahiaddin telah mendahulu setapak lagi dalam langkah politiknya untuk berhadapan dengan UMNO yang telah pun memuktamadkan ketetapan putus hubungan dengan Bersatu, segala-galanya belum berakhir lagi.

Belum tentu Mahiaddin akan terus menang dan tidak kecundang dan belum tentu juga Zahid Hamidi mampu terus menangani kemelut parti yang berpanjangan ini.

Apa pun keputusan UMNO malam ini, keluar daripada kerajaan atau terus kekal sehingga Parlimen dibubarkan, UMNO akan terus bergolak, bercakaran dan huru-hara tanpa kesudahannya.

Tetapi, jika malam ini tidak jadi keluar daripada kerajaan dan UMNO menukar pendirian menerima perlantikan Timbalan Perdana Menteri yang telah ditolak sebelum ini, bermakna ia adalah pengakhiran mutlak bagi masa depan Zahid Hamidi. 


(ShahbudinHusin 07/07/2021)