Anwar persoal tindakan segera luluskan tender besar 5G


Anwar Ibrahim berkata, kerajaan guna peluang dan kesempatan untuk segera luluskan tender 5G tanpa maklumat yang banyak.

PETALING JAYA: Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim mempersoal tindakan kerajaan menyegerakan kelulusan tender besar untuk membina rangkaian telekomunikasi 5G di negara ini.

Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, dalam keadaan kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang tidak stabil, rakyat dimaklumkan tender itu diluluskan tanpa banyak maklumat.

“Walaupun ada pertikaikan syarikat China iaitu Huawei menyempurnakan tugasan itu dengan kos RM5 bilion, maka saya mahu kemukakan beberapa soalan kerana tiada maklumat.

“Pemerintah guna peluang dan kesempatan ini untuk cepat-cepat luluskan tanpa maklumat lain dan kita bimbang apakah kedudukan latihan pemindahan teknologi bebankan rakyat,” katanya di Facebooknya.

Media sebelum ini melaporkan, Malaysia telah memilih kontrak dengan Ericsson Sweden bernilai RM11 bilion berbanding pesaing China Huawei Technologies untuk merancang dan membina rangkaian telekomunikasi 5G di negara ini.

Malaysia dijangka akan menyediakan rangkaian dan ekosistem teknologi generasi kelima atau 5G pada akhir tahun dan merangkumi 80% penduduk pada tahun 2024.

Sebagai permulaan perkhidmatan akan dilancarkan di Kuala Lumpur dan Putrajaya serta pusat multimedia Cyberjaya pada tahun 2021

Dalam pada itu, Anwar berkata persoalan sama ada kos itu akan membebankan rakyat atau tidak perlu dijawab oleh kerajaan.

Katanya ini bagi mengelakkan berlakunya penyelewengan, salah guna kuasa atau komisyen berlebihan

“Jadi soalan-soalan ini harus dijelaskan sebelum beri kesan parah pada negara dan rakyat,” katanya.

No comments: