KULI JUGA INGIN JADI PM INTERIM

 


Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah tidak menolak sekiranya beliau diberi kepercayaan untuk menggalas tanggungjawab sebagai Perdana Menteri interim.

Beliau yang juga dikenali sebagai Ku Li berkata, sesiapa sahaja termasuk dirinya akan memikul tanggungjawab itu demi kepentingan rakyat sekiranya negara sekali lagi berdepan dengan krisis politik seperti yang berlaku pada Februari tahun lalu.

“Kalau dengar kepada banyak laporan takut kita hendak mencuba pun tetapi kalaulah itu menjadi tanggungjawab sesiapa sahaja mesti memikulnya kerana demi kepentingan rakyat dan negara,” katanya pada program Bersama Ku Li yang disiar di semua platform Sinar Harian pada Rabu.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaaffar dalam program bual bicara yang berlangsung kira-kira sejam berhubung kesediaan beliau untuk menjadi Perdana Menteri interim sekiranya negara sekali lagi berdepan krisis politik.

Nama Tengku Razaleigh atau lebih mesra dengan panggilan Ku Li antara pemimpin yang turut disebut untuk mengambil alih kepimpinan negara susulan wujud kempen gerakan #kerajaangagal secara maya oleh beberapa pihak sejak kebelakangan ini.

Pada 24 Februari tahun lalu, Tun Dr Mahathir Mohamad melakar sejarah negara apabila menjadi Perdana Menteri interim pertama di Malaysia.'

Sejarah itu terlakar apabila Dr Mahathir menghantar surat peletakan jawatannya ketika menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah di Istana Negara pada tarikh sama.

Susulan itu, beliau dilantik sebagai Perdana Menteri interim sementara menunggu pelantikan Perdana Menteri yang baharu.

 

No comments: