Kerajaan PN kini jatuh, kerajaan interim sebagai penyelesaian awal - Mujahid


Afiezy Azaman
Kerajaan PN kini jatuh, kerajaan interim sebagai penyelesaian awal - Mujahid
Mujahid mendakwa kerajaan Perikatan Nasional kini telah jatuh. -Gambar fail

KUALA LUMPUR: Kerajaan interim dilihat sebagai satu kaedah terbaik untuk menyelesaikan kemelut politik yang berlaku susulan penarikan diri UMNO daripada menyokong perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ahli Parlimen Parit Buntar, Datuk Mujahid Yusof Rawa menerusi akaun Facebooknya mendakwa kerajaan Perikatan Nasional (PN) kini dilihat telah jatuh.Sumber Facebook DrMujahidYusofRawa

"Pilihan UMNO yang diumumkan awal pagi tadi, merintis jalan kepada kejatuhan kerajaan PN tetapi alternatif sebuah kerajaan kuat dan stabil seperti titah Yang di-Pertuan Agong masih belum kelihatan.

"PH kekal blok terbesar 89 Ahli Parlimen tetapi tidak cukup bentuk kerajaan, baki 'strong and formidable majority' masih ada di tangan blok Barisan Nasional, Sabah, Sarawak manakala fraksi Tun M (Tun Mahathir) mungkin menanti peluang.

"Jatuhnya PN secara teknikal adalah jatuhnya kegagalan, keangkuhan dan lebih utama satu pengkhianatan dan PH kekal konsisten mahukan mandat rakyat dikembalikan, UMNO tarik diri dari PN dan jelas dari kenyataan Presidennya mahukan PRU setelah kelompok imuniti tercapai," katanya.

Terdahulu, Mesyuarat ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO malam tadi memutuskan parti itu menarik balik sokongan kepada kepemimpinan perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yasin berkuat kuasa serta merta.

Selaras keputusan itu, UMNO menuntut supaya Muhyiddin meletakkan jawatan untuk memberi laluan kepada seorang perdana menteri baharu dilantik untuk suatu tempoh yang terhad bagi menguruskan hal pandemik COVID-19 dan bantuan kepada rakyat.

MKT UMNO turut menegaskan sebarang usaha untuk mencalonkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri akan ditolak sepenuhnya oleh parti itu.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamid, berkata penolakan itu termasuklah kerjasama parti itu dengan DAP.

Mengulas lanjut, Mujahid yang juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) itu juga mempersoalkan sama ada UMNO menarik diri daripada kerajaan adalah disebabkan kegagalan sendiri.

"Hairan juga, adakah UMNO mengatakan pada diri sendiri kerana Timbalan Perdana Menteri UMNO dan Menteri Kanan UMNO baru sahaja dilantik kelmarin.

"Menteri Vaksin, Menteri Kesihatan, Menteri Pertahanan, Sukan, Perpaduan, Pengajian Tinggi, Menteri Luar dan ramai Timbalan Menteri adalah dari UMNO.

"Apakah yang gagal adalah UMNO dan sebab itu dia menarik diri dari kerajaannya sendiri! Tegasnya.

Tambah Mujahid, sekali lagi kebijaksanaan Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah diperlukan untuk meralisasikan kerajaan yang kukuh dan stabil bagi menangani COVID-19 dan ekonomi yang semakin buruk.

"Rakyat menderita, ekonomi dalam bahaya, COVID-19 terus meningkat. Amat malang bagi negara ini terpaksa melalui musibah ini.

"Tapi sekurangnya satu kegagalan dan pengkhianatan telah diakhiri," jelasnya..

No comments: