Sidang kemuncak iklim: Kenapa Vietnam boleh dijemput, Malaysia ‘disisihkan’?

 

Pada 8 

Oleh Roketkini

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man sehingga kini masih gagal menjelaskan mengapa Vietnam boleh dijemput tetapi Malaysia ‘disisihkan’ daripada sidang kemuncak mengenai iklim.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, Tuan Ibrahim harus sedar diri dengan menetapkan wawasannya dalam bagaimana untuk mengintegrasikan langkah-langkah perubahan iklim ke dalam bidang tugas agensi-agensi kerajaan.

“Malangnya, sebagai salah seorang pemimpin parti yang berwarna hijau, Tuan Ibrahim Tuan Man telah merugikan negara dengan prestasi buruk dalam memupuk dasar hijau sehingga Malaysia dilihat sebagai jauh lebih rendah daripada negara Vietnam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Media melaporkan, Sidang Kemuncak Pemimpin mengenai Iklim yang dipengerusikan Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden itu akan berlangsung secara maya pada 22 dan 23 April dan bakal disiarkan secara langsung untuk tontonan umum.

Ia akan menampilkan pemimpin dunia dari 40 negara, termasuk Singapura, Indonesia dan Vietnam.

Guan Eng berkata, ramai yang mengatakan tindakan Biden itu boleh dianggap sebagai satu tamparan ke muka Malaysia kerana gagal mempertahankan reputasinya sebagai pemimpin dalam tindakan iklim di Asia Tenggara yang berjaya dicapai oleh mantan Menteri Pakatan Harapan (PH), Yeo Bee Yin.

Bagi menghindarkan Malaysia menjadi sebuah tapak pembuangan sampah plastik, tambahnya, Bee Yin menjadi peneraju terhadap usaha mengembalikan kontena sampah plastik ke negara asalnya.

Menurutnya, Ahli Parlimen Bakri itu juga memainkan peranan penting dalam pindaan klasifikasi sisa plastik di bawah Konvensyen Basel, sebuah perjanjian antarabangsa, untuk menyekat import sisa tersebut.

Mengulas lanjut, Guan Eng menambah, ‘penyisihan’ Malaysia daripada sidang kemuncak berkenaan telah menjadi bahan jenaka, dengan kemerosotan kedudukan Malaysia sebelum ini sebagai peneraju dalam mempromosi isu perubahan iklim.

“Penyisihan Malaysia daripada sidang kemuncak tindakan iklim AS mengesahkan bahawa Malaysia dilihat lebih sebagai tempat pembuangan sampah plastik daripada rakan strategik isu alam sekitar,” katanya. 




No comments: