Projek PR1MA PD: Pembeli rugi, menteri sekali lagi anjak tarikh siap?

 




Projek pembinaan rumah PR1MA di Port Dickson sekali lagi mendapat perhatian apabila Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Zuraida Kamaruddin kelmarin berkata, pemaju akan menyiapkan pembinaan pada September 2021.

Ketua Angkatan Muda KEADILAN Malaysia, Akmal Nasir mempersoalkan tarikh baharu tersebut kerana sebelum ini pihak pemaju telah berjanji untuk menyiapkannya pada 31 Mei 2021.

"Respon yang diberikan mungkin merujuk kepada pertemuan saya bersama kumpulan pembeli yang mewakili 659 orang pembeli PR1MA Port Dickson pada hujung minggu lalu, setelah saya bangkitkan permasalahan yang dihadapi pembeli PR1MA Tebrau dan PR1MA Melaka Tengah 2.

"Namun, kenyataan terbaru Zuraida bercanggah dengan tarikh yang dikemukakan oleh pihak PR1MA iaitu 31 Mei 2021.

"Adakah tarikh siap akan dianjakkan sekali lagi selepas beberapa kali ditukar sepanjang beliau menjawat jawatan Menteri KPKT?" tanya Akmal dalam satu kenyataan.

Menurut Ahli Parlimen Johor Bahru itu lagi, para pembeli tidak dapat dihindari daripada mencurigai janji terbaharu Zuraida dan terdapat juga yang menganggap hal itu hanya janji palsu kerana ketika pertemuan menteri bersama pembeli PR1MA Port Dickson pada 8 Januari 2021, beliau turut menyatakan bahawa kerja-kerja pembinaan yang telah terhenti sekian lama sejak sebelum wabak Covid-19 akan disambung pada 22 Januari 2021, dengan seramai 300 orang pekerja.

Bagaimanapun, kata Akmal, semakan yang dibuat pada tapak projek pada 4 April 2021 membuktikan janji menteri meleset sama sekali dan tiada tanda-tanda kerja pembinaan dijalankan

"Sekiranya pemaju yang dibatalkan projek-projek PR1MA lain boleh diberi pampasan secara keseluruhan RM172 juta, menteri sepatutnya turut bertanggungjawab atas kerugian yang ditanggung oleh pembeli sepanjang tempoh perberhentian kerja-kerja di tapak pembinaan.

"Saya juga mengulangi gesaan agar menteri berlaku jujur dan terbuka dengan menyenaraikan setiap projek PR1MA dengan tarikh asal siap, senarai projek yang dipinda tarikh siap, senarai projek lewat dan terbengkalai serta kerugian yang ditanggung oleh setiap pembeli akibat kegagalan projek-projek PR1MA siap mengikut jadual asal," katanya lagi.

 

No comments: