Tiada lagi sebarang alasan untuk Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk tidak menasihati Yang di-Pertuan Agong (YDPA) untuk memanggil sidang Parlimen apabila gelombang ketiga wabak Covid-19 akhirnya berada di bawah kawalan.
Veteran DAP, Lim Kit Siang berkata, proses pendaftaran dan pengedaran vaksin Covid-19 perlu dipercepatkan untuk membolehkan kehidupan kembali norma dan memulakan proses pemulihan ekonomi dalam suku keempat tahun ini.
“Parlimen patut dipanggil bersidang untuk membuat keputusan mempercepatkan pelaksanaan program imunisasi Covid-19 kebangsaan menjelang hari Malaysia pada 16 September 2021 dengan mengguna pakai pendekatan yang melibatkan ‘keseluruhan kerajaan’ dan ‘keseluruhan masyrakat’,” ujarnya dalam satu kenyataan semalam.
Tambah Kit Siang yang juga merupakan Ahli Parlimen Iskandar Puteri, beliau berharap dapat melihat penurunan kadar kes Covid-19 yang berterusan dalam hari-hari yang akan datang.
Dalam pada itu, Kit Siang juga mempersoalkan sama ada adakah mesyuarat Kabinet yang dijadualkan hari ini akan memutuskan bagi Muhyiddin menasihati YDPA untuk memanggil sidang Parlimen bagi membolehkan wabak tersebut ditangani dengan lebih efektif.