Seorang aktivis alam sekitar dan Ahli Parlimen mengecam kenyataan menteri alam sekitar dan air yang disifatkan sebagai lemah dalam menjelaskan pengecualian Malaysia daripada Sidang Kemuncak Pemimpin mengenai perubahan iklim di Amerika Syarikat, akhir bulan ini.
Ahli Parlimen Subang Wong Chen dan Andrew Sebastian, yang merupakan ketua eksekutif Persatuan Ekopelancongan dan Pemuliharaan Malaysia, berkata Tuan Ibrahim Tuan Man perlu menjelaskan apakah yang dikatakannya bahawa Malaysia “bukan tergolong dalam kategori negara yang terdedah kepada impak perubahan iklim yang ketara”.
Wong bertanya sama ada menteri berkenaan membuat andaian sendiri atau memetik penjelasan bertulis yang diberikan oleh kerajaan AS kepada Putrajaya.
Beliau berkata sebahagian kenyataan Tuan Ibrahim tidak tepat kerana Malaysia seperti negara lain juga, pastinya berisiko terkesan akibat perubahan iklim.
Wong juga menegaskan negara ini memiliki wilayah pesisir yang luas, yang terdedah kepada kenaikan suhu dan permukaan dasar laut.
“Ada juga masalah mengenai industri minyak sawit lestari negara dan kita mempunyai sektor tenaga yang masih terlalu bergantung kepada loji tenaga arang batu,” katanya.
Dalam satu kenyataan semalam, Tuan Ibrahim berkata Malaysia tidak diundang ke Sidang Kemuncak Pemimpin Berkenaan Iklim di AS pada 22 dan 23 April ini, kerana ia bukan tergolong dalam kategori negara yang terdedah kepada impak perubahan iklim yang ketara.
Katanya, Malaysia juga tidak termasuk dalam objektif utama persidangan itu, iaitu menggalakkan negara ekonomi besar yang secara kolektif menyumbang kepada 80% gas rumah hijau (GHG), untuk meningkatkan komitmen mencapai matlamat mengekalkan pemanasan global pada tahap kenaikan suhu maksimum 1.5 darjah Celcius.
Katanya, terdapat banyak negara yang menyerlah dalam agenda perubahan iklim seperti Sweden, Switzerland dan Thailand juga tidak dijemput menghadiri persidangan tersebut.
Mengulas lanjut, Wong berkata, Malaysia masih memiliki jalan untuk mencapai sasaran yang digariskan dalam Perjanjian Paris, yang bertujuan mengatasi pemanasan global hingga di bawah dua darjah Celsius.
“Menteri perlu melihat perkara ini dengan serius dan membuat persiapan terhadap perubahan iklim.”
Sebastian pula berkata beliau, terkejut dengan kenyataan Tuan Ibrahim itu, terutama apabila Malaysia dianggap sebagai “antara negara megadiverse dunia”.
“Terumbu karang, pulau-pulau, hutan bakau kita sangat terpengaruh dengan perubahan iklim,” katanya.
“Sangat mengejutkan apabila melihat komen seperti itu daripada menteri. Saya rasa kita perlu mendapatkan penjelasan mengenai apakah sebenarnya maksud beliau.”
Katanya, pengecualian Malaysia daripada sidang kemuncak itu menunjukkan kerajaan perlu lebih serius melindungi negara daripada kemusnahan alam sekitar.
Sidang kemuncak itu, yang akan dihoskan oleh Presiden AS Joe Biden, akan berlangsung dalam talian pada 22 dan 23 April dan menampilkan pemimpin dunia dari 40 negara.
Bulan lalu, Rumah Putih berkata, jemputan itu termasuk negara yang bertanggungjawab ke atas sekurang-kurangnya 80% pelepasan GHG global dan produk domestik kasar global.
Kenyataan itu juga menjelaskan sidang kemuncak itu turut menampilkan ketua negara yang menunjukkan kepimpinan terbaik dalam perubahan iklim, terutama yang terdedah dengan kesan itu atau meneraju usaha inovatif ke arah ekonomi bersih-sifar.
Ia menambah bahawa sidang kemuncak itu juga akan menampilkan “ketua negara lain yang menunjukkan kepemimpinan iklim yang kuat, sangat rentan terhadap dampak iklim atau memetakan jalur inovatif menuju ekonomi sifar bersih”.