PETALING JAYA: Pakatan Harapan (PH) menuntut penjelasan Putrajaya berhubung pertemuan duta besar Malaysia ke Myanmar dengan menteri elektrik dan tenaga kerajaan junta itu.
Gabungan pembangkang itu ingin tahu kenapa pertemuan itu diadakan sedangkan perdana menteri sendiri kritis terhadap junta.
PH berkata, pertemuan itu menimbulkan banyak persoalan mengenai pendirian Malaysia berhubung junta yang mengambil alih kerajaan Myanmar selepas rampasan kuasa 1 Feb lalu.
Katanya, Muhyiddin Yassin sebelum ini menggesa tahanan politik, termasuk Aung San Suu Kyi, dibebaskan segera.
“Beliau juga menggesa satu sidang tergempar Asean diadakan untuk membincangkan keadaan di Myanmar selepas kudeta pada 1 Feb,” kata Shamsul Iskandar Mohd Akin daripada PKR, Khalid Samad daripada Amanah dan Liew Chin Tong daripada DAP menerusi kenyataan bersama.
Mereka berkata, pertemuan Duta Besar Malaysia ke Myanmar, Zahairi Baharim dengan menteri negara itu, Aung Than Oo, memberi persepsi Malaysia mengiktiraf junta.
“Ini tidak membantu usaha mengembalikan demokrasi di Myanmar. Oleh itu, kami mendesak menteri luar segera memberi penjelasan.”
Terdahulu, beberapa Ahli Parlimen pembangkang hari ini mempersoalkan pertemuan itu dengan berkata, kunjungan hormat berkenaan memberi mesej buruk kepada negara lain dan bertentangan pendirian serantau dan negara terhadap rejim junta.
Mereka memberi respons terhadap gambar pertemuan Zahairi dan Aung di Naypyidaw yang tersebar di media sosial hari ini.
Zahairi dikatakan duta pertama dari Asia Tenggara yang mengadakan pertemuan rasmi dengan anggota kerajaan baharu tentera itu.