Polis kenal pasti wanita dakwa anggota IPD Gerik maut akibat vaksin COVID-19

 


Abd Razak Mohd Ali
Polis kenal pasti wanita dakwa anggota IPD Gerik maut akibat vaksin COVID-19
Pada 3 April lalu, tular mesej di Facebook mendakwa kononnya terdapat anggota polis dari IPD Gerik meninggal dunia selepas dimasukkan ke Unit Kecemasan Hospital Gerik akibat komplikasi suntikan dos kedua vaksin COVID-19.
TELUK INTAN: Polis telah mengenal pasti pemilik akaun facebook yang dipercayai memuat naik berita palsu mendakwa seorang anggota polis di Gerik meninggal dunia akibat komplikasi dos kedua vaksin COVID-19.
Ketua Polis Perak, Datuk Mior Farid Al Athrash Wahid, berkata Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bukit Aman telah merakam keterangan pemilik akaun iaitu wanita dari Pulau Pinang.
"Saya difahamkan mereka telah memanggil suspek dalam kes ni iaitu wanita yang tinggal di Pulau Pinang. Kita tunggu hasil siasatan nanti (untuk tindakan lanjut)," katanya.
Beliau ditemui selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Hilir Perak di Dewan Serbaguna Ibu Pejabat Polis (IPD) Hilir Perak di Teluk Intan pada Khamis.
Mengulas lanjut, katanya kes disiasat di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana memfitnah dan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia selain Ordinan Darurat Kuasa-kuasa Perlu (No.2) 2021 kerana menyebarkan berita palsu.
Pada 3 April lalu, tular mesej di Facebook mendakwa kononnya terdapat anggota polis dari IPD Gerik meninggal dunia selepas dimasukkan ke Unit Kecemasan Hospital Gerik akibat komplikasi suntikan dos kedua vaksin COVID-19.
Bagaimanapun, IPD Gerik kemudian menafikan berita palsu berkenaan dan menjelaskan anggota terbabit dimasukkan ke hospital kerana serangan jantung dan berada dalam keadaan stabil.




No comments: