SEBELUM MAHU NAMAKAN CALON PM, TONJOLKANLAH DULU SIAPA NAK TANDING PRESIDEN UMNO?

 

Sana sini orang UMNO yang anti Ahmad Zahid Hamidi mula bersuara mahukan parti itu menyediakan satu nama sebagai calon Perdana Menteri bagi menghadapi PRU15 akan datang nanti.

Serentak dengan itu, bergentayangan juga suara-suara menggesa agar pemilihan UMNO yang sepatutnya diadakan tahun ini tidak ditangguhkan.

Kata mereka, dengan adanya pemilihan UMNO yang tidak ditangguhkan, maka calon Perdana Menteri akan segera dapat diketahui.

Dalam erti kata lain, semua suara itu memberi gambaran bahawa Presiden UMNO sekarang, Zahid Hamidi sama sekali tidak layak untuk dinamakan sebagai calon Perdana Menteri.

Pada anggapan mereka, kalau Zahid Hamidi calonnya, tiada peluang langsung untuk BN menang dan kembali berkuasa melalui PRU15.

Ia berikutan, tambah mereka, dengan 87 kes mahkamah yang sedang dihadapinya, tidak mungkin sokongan pengundi akan memihak kepada BN.

Dengan yang demikian, bagi mereka juga, pemilihan UMNO adalah satu-satu jawapannnya.


Begitu pun, sementara beberapa nama menjadi sebutan, tiada mana-mana pemimpin UMNO setakat ini yang berani tampil menonjolkan diri atau cuba hendak ditonjolkan untuk bertanding jawatan Presiden UMNO.

Dengan andaian Zahid Hamidi akan terus mempertahankan jawatannya, bermakna sesiapa juga yang berhajat untuk bertanding perlu berhadapan dengan beliau dalam pemilihan nanti.

Bekas Setiausaha Agung BN, Annuar Musa ada membayangkan tiga nama sebagai bakal calon Perdana Menteri UMNO iaitu Ismail Sabri Yaakob, Hishammuddin Hussein dan Khairy Jamaluddin yang membawa erti mereka terbabit perlu bertanding jawatan Presiden UMNO terlebih dahulu.

Sesiapa antara tiga nama itu yang menang sebagai Presiden UMNO, barulah mereka layak dinamakan sebagai calon Perdana Menteri.

Tetapi, ketiga-tiga pemimpin berkenaan masih lagi membisu berhubung jawatan yang bakal mereka tandingi dalam pemilihan UMNO akan datang ini, hanya Annuar saja yang tidak sabar mempromosi nama mereka lantaran kebenciannya yang mungkin tak terbendung lagi kepada Zahid Hamidi.

Khairy Jamaluddin yang paling awal bersuara agar pemilihan UMNO disegerakan tidak pula berani menyatakan sama ada beliau ingin bertanding sekali lagi atau tidak jawatan Presiden UMNO setelah tewas pada pemilihan 2018 lalu.

Sementara itu bekas menteri, Nazri Aziz menyarankan agar Zahid Hamidi berundur dan memberi laluan kepada Mohamad Hasan menerajui parti untuk menghadapi PRU15.

Namun, pendirian Mohamad Hasan juga tidak kedengaran sama ada mahu merebut jawatan Presiden UMNO atau mengekalkan kedudukan Timbalan Presiden yang disandangnya sekarang.

Bagaimanapun, melihat langkah-langkah Zahid Hamidi kini, selagi tidak dijatuhi hukuman bersalah oleh mahkamah, tidak ternampak kemungkinan beliau akan berundur atau mengalah begitu saja.

Malah, berpegang kepada prinsip seseorang itu tidak bersalah sehingga disabitkan bersalah, beliau juga dipercayai akan terus mempertahankan jawatannya sebagai Presiden UMNO.

Dalam hal ini, jika benar mereka yang anti Zahid Hamidi bersungguh mahu pemimpin lain sebagai calon Perdana Menteri UMNO, apa kata dinamakan segera siapa calon yang mahu ditonjolkan untuk berlawan dengannya itu.

Adakah ia Ismail Sabri, Hishammuddin, KJ atau Mohamad Hasan?

Malah, tidak menjadi kesalahan pun sebenarnya, jika benar salah seorang atau keempat-empat pemimpin di atas membuat pengumuman rasmi untuk bertanding merebut jawatan Presiden UMNO mulai sekarang sebagai tanda mereka benar-benar teringin hendak jadi Perdana Menteri.

Apa guna teringin jadi Perdana Menteri, tapi masih malu-malu nak umum bertanding jawatan Presiden UMNO? (Shahbudindotcom 07/04/2021)