TIGA SYARAT MUDAH JIKA UMNO MAHU BEKERJASAMA DENGAN BERSATU


Bolehkah UMNO bekerjasama semula dengan Bersatu?

Sebenarnya masih ramai yang bertanya soalan tersebut, meskipun UMNO pada asasnya sudah membuat ketetapan tak berganjak tidak mahu lagi bekerjasama dengan Bersatu dalam PRU15 akan datang.

Meskipun tidak mahu bekerjasama dengan Bersatu, UMNO memutuskan boleh meneruskan sokongan kepada kerajaan PN pimpinan Muhyiddin Yassin sehingga Parlimen dibubarkan.

Bagi menjawab soalan di atas, UMNO sebenarnya masih boleh bekerjasama dengan Bersatu jika parti pimpinan Muhyiddin itu sedia memenuhi sekurang-kurangnya tiga syarat yang tidaklah susah mana hendak ditunaikan.

Pertama, menyedari UMNO adalah parti yang sudah lama wujud, mempunyai keahlian sekitar 3.6 juta, akar umbi yang kukuh dan jumlah Ahli Parlimennya juga paling ramai dalam kerajaan PN sekarang, Bersatu mesti mengalah dan sedia memberi peruntukan jumlah kerusi terbanyak kepada parti itu.

Oleh kerana dalam kerajaan PN sekarang ada tiga parti Melayu – UMNO, Pas dan Bersatu – yang mana mereka bersaing sesama sendiri serta berkubang di tempat pengundi yang sama dan Bersatu adalah parti paling lekeh sekali dari jumlah keahlian, kekuatan akar umbi dan usia pula baru setahun jagung, parti itu mesti sedar diri, selalu menatap cermin dan sedia untuk mengalah kepada UMNO.

Dengan memberikan UMNO peruntukan kerusi terbesar serta memberi hak kepada mereka bertanding semula di semua kerusi yang dimenangi dalam PRU14 lalu, tidak kira sama ada kerusi tersebut masih dimiliki oleh UMNO atau sudah dilompat-katakkan ke parti lain, maka tidak ada sebab untuk UMNO tidak mahu menjalin semula kerjasama dengan Bersatu.

Kedua, seiring dengan persetujuan memberi UMNO jumlah kerusi terbanyak untuk ditandingi itu, bermakna secara mayanya juga Bersatu hendaklah menyerahkan kerusi Perdana Menteri kepada wakil UMNO selepas PRU15 akan datang.

Bersatu barangkali hanya boleh menuntut kerusi Perdana Menteri menjadi milik mereka sekiranya ditakdirkan berlaku keajaiban di mana UMNO selepas keputusan PRU15 didapati memenangi jumlah kerusi Parlimen yang kurang berbanding dengannya.

Sebagai parti yang sudah lama wujud, mempunyai keahlian teramai dan akar umbi yang terkuat, UMNO sememangnya paling berhak menduduki kerusi Perdana Menteri jika dibandingkan dengan Bersatu.

Dengan Bersatu hanya mempunyai enam kerusi yang asal, sementara yang selebihnya adalah pelompat-pelompat daripada UMNO dan PKR, memang ternampak macam kartun jika UMNO sedia memberi muka lagi kepada pemimpin Bersatu untuk terus menduduki kerusi Perdana Menteri.

Sejak kalah pada PRU14, antara perjuangan utama UMNO ialah untuk merebut kembali kerusi Perdana Menteri yang sudah terlepas itu.

Makanya, jika UMNO sedia menyokong lagi Muhyiddin kekal sebagai Perdana Menteri selepas PRU15 akan datang, bermakna UMNO telah menebang teras perjuangannya sendiri.

Tindakan itu pula mungkin akhirnya akan menyebabkan UMNO terlepas terus daripada perjuangan merebut kerusi Perdana Menteri sehingga ke hari kiamat.

Ketiga, sebagai memudahkan lagi untuk menjadikan UMNO sedia bekerjasama dengan Bersatu, lebih cantik jika ia turut disertai dengan pengumuman Muhyiddin tidak bertanding lagi dalam PRU15 nanti.

Meski demikian, atas semangatnya untuk memastikan PN terus kekal sebagai kerajaan dan tanda ikhlas menyokong pemimpin daripada UMNO pula untuk menggantikan tempatnya sebagai Perdana Menteri, beliau boleh terus bekerja kuat berkempen sehingga ke hari pengundian.

Kalau UMNO tetap dengan keputusannya sekarang iaitu enggan bekerjasama dengan Bersatu, harapan Muhyiddin untuk mengekalkan jawatannya memang tiada, maka dengan bersedia menyerahkan jawatannya kepada UMNO dan bekerja kuat pula dalam kempen, setidak-tidaknya nama beliau terus disanjung serta terlalu nipis peluang untuk dicari apa-apa salahlakunya selepas itu.

Kesimpulannya, jika Bersatu sedar diri dan sedia memenuhi tiga syarat mudah di atas, tidak ada sebab sama sekali untuk UMNO tidak sedia membuat pusingan U dan membuat ketetapan baru mahu bekerjasama semula dengan Bersatu.

Bahkan, sekiranya Bersatu sedia memenuhi tiga syarat tersebut, tetapi UMNO pula jual mahal serta keras kepala dengan ketetapannya enggan bekerjasama dengan parti itu, maka dengan itu barulah boleh disahkan UMNO sebagai parti yang betul-betul menolak penyatuan ummah.


 (Shahbudindotcom 08/03/2021)



No comments: