MUHYIDDIN YANG BISU,KAKU TIADA KEMAMPUAN SEBAGAI PERDANA MENTERI


 Kenapa ramai yang menyerang dan menghentam Muhyiddin Yassin?

Adakah semata-mata kerana pengkhianatannya terhadap PH dan caranya membentuk kerajaan PN melalui pintu belakang?

Jika diperhati, selain pengkhianatan itu adalah salah satu sebabnya, punca terbesar ialah kerana rakyat akhirnya sedar bahawa Muhyiddin bukan seorang pemimpin yang layak dan mampu untuk memikul tugas sebagai Perdana Menteri.

Berbeza dengan Najib Razak yang diserang dan dipertikai kerana ada isu khusus seperti berkaitan karenah isterinya, Rosmah Mansor dan skandal 1MDB, begitu juga dengan kepimpinan Tun Abdullah Badawi disebabkan isu budak-budak tingkat 4 dan kerajaan tiga beranak, tetapi Muhyiddin sebenarnya tiada isu khusus atau apa-apa skandal melingkari kepimpinannya.

Kemarahan orangramai terhadapnya bermula dengan pengkhianatan, namun kemudian semuanya melebar kepada isu-isu yang menunjukkan kelemahan dan ketidakmampuannya menggalas tugas mengurus negara.

Sebab itu penolakan, kemarahan dan kini kebencian rakyat begitu cepat dan hanya dalam beberapa bulan sudah membelenggu dirinya.

Ketidakmampuan awalnya terbukti apabila ketika keabsahannya mula dipertikaikan, beliau lalu memilih jalan menangguh-nangguhkan sidang Parlimen sebagai pilihan paling mudah untuk menyelamatkan kedudukannya.

Seterusnya, kebetulan dengan wabak Covid19 yang melanda negara, beliau mencadangkan pula darurat yang difahami oleh semua orang tujuannya tidak lain ialah bagi menghalalkan penggantungan Parlimen semata-mata.

Dengan menggantung Parlimen, Muhyiddin secara langsung berjaya mengelakkan sebarang undian dilakukan kepada keabsahannya, sementara di sebalik beberapa Ahli Parlimen telah menarik sokongan terhadapnya, kedudukan majoriti beliau sebenarnya sudah pun tiada lagi.

Apabila Yang Dipertuan Agong kemudiannya bertitah Parlimen boleh bersidang ketika tempoh darurat, pentadbiran Muhyiddin jelas menunjukkan sikap derhaka dengan menolak titah berkenaan melalui kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Takiyuddin Hasan..

Takiyuddin menyatakan tiada sidang Parlimen akan diadakan ketika tempoh darurat kerana majoriti Ahli Parlimen adalah warga emas yang terdedah kepada penularan Covid19.

Ternampak Takiyuddin sanggup membodohkan dirinya sendiri dengan hujah tersebut semata-mata untuk melindungi Muhyiddin kerana sementara ramai Ahli Parlimen sudah diberi suntikan vaksin, banyak sektor pekerjaan, perjudian, panggung wayang, malah sekolah sudah pun dibuka sepenuhnya.

Kilang dan sekolah yang ada beribu-ribu orang tidak ditakuti merebaknya wabak, tetapi Parlimen yang hanya ada 220 ( dua meninggal dunia) pula yang dibimbangkannya dengan ancaman Covid19.

Dengan hujah sedemikian, Takiyuddin sebenarnya adalah menteri penjaga Parlimen paling kartun dalam sejarah negara ini.

PAS yang menaungi laluan politiknya yang konon memperjuangkan Islam, tetapi ternampak tahap mengampu dan membodek beliau demi mempertahankan kuasa begitu jauh melebihi mereka yang berjuang atas nama sekular sekali pun.

Dalam pelbagai isu lainnya, terutama yang membabitkan kritikan terhadap diri dan kepimpinannya, sikap Muhyiddin yang asyik “buat bodoh” dan enggan menjawab atau tampi bercakap memberi penjelasan, pada hakikatnya tambah menyerlahkan lagi keyakinan rakyat bahawa beliau sebenarnya tidak cukup kemampuan dan kewibawaan untuk peranan sebagai Perdana Menteri.

Sebagai seorang Perdana Menteri, seseorang itu sebetulnya tidak boleh berwatak bisu, enggan bersoal jawab dengan media dan asyik-asyik dengan perutusan khas sehalanya saja sepanjang masa.

Seorang Perdana Menteri mesti selalu tampil di khalayak dan media bercakap tentang pelbagai masalah yang berlaku dalam negara, sambil penampilannya itu bertujuan memberi keyakinan kepada rakyat bahawa sebagai pembayar cukai yang membayar gajinya, mereka berhak mendapat ketua atau jeneral yang diyakini serta kata-katanya penuh memberi pengharapan.

Tetapi, dengan hanya diam dan bisu dalam banyak isu, baik ekonomi, politik dan macam-macam lagi, apa yang boleh rakyat harapkan daripada beliau?

Sepanjang setahun berlalu, dengan pilihannya menjadi Perdana Menteri yang bisu serta tidak mesra itu, kecuali kepada penyokong dan pengampunya, Muhyiddin sebenarnya telah melakukan pilihan yang salah dalam pendekatannya.

Dengan sikapnya yang sedemikian itu, kalau pun tidak dijatuhkan sebelum Parlimen dibubarkan, peluangnya untuk memimpin kejayaan bagi PN dalam PRU15 juga boleh dikata tersangat nipis.

Di mana-mana, luahan yang kedengaran di bibir rakyat ialah beliau tidak mampu mengurus negara ini ke arah yang lebih baik, kecuali yang tahu dilakukannya hanyalah menyogok habuan demi habuan kepada penyokong serta pengampunya demi mempertahankan kuasa yang tidak berapa lama lagi pasti akan terburai jua akhirnya.

Selain pengampu dan pembodek yang beroleh habuan itu, tiada sesiapa yang lain lagi selain itu ingin terus berketuakan seorang yang bisu dan kaku dalam tempoh yang lebih lama sebagai jeneral menguruskan negara ini. (Shahbudindotcom 09/03/2021)


No comments: