Pengumuman wujudkan 500,000 peluang pekerjaan timbulkan tanda tanya – Lip Eng

 

Oleh Zamzani Husin

Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng hari ini mempersoalkan pengumuman Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berhubung rancangan kerajaan untuk mewujudkan 500,000 peluang pekerjaan. 

Menyifatkan pengumuman berkenaan tidak “diikuti logik”, Lip Eng berkata, terdapat tiga persoalan penting yang perlu dijawab oleh Tengku Zafrul berkenaan rancangan berkenaan. 

“Pertama sekali, apakah jenis-jenis pekerjaan yang akan bakal ditawarkan kepada umum menerusi skim yang dirancang? 

“Seterusnya, 500,000 adalah satu angka raksasa dan bagaimanakah peluang pekerjaan tersebut akan diperolehi kerajaan bagi mereka yang menganggur memandangkan banyak perusahaan dan perniagaan terkesan dan terpaksa ditutup akibat pandemik Covid-19? 

“Soalan ketiga, bilakah angka penuh berkaitan peluang pekerjaan tersebut akan dicapai untuk pengetahuan umum?” soalnya dalam kenyataan.

Lip Eng yang juga Setiausaha DAP Wilayah Persekutuan turut mempersoalkan sama ada peluang pekerjaan itu bakal ditawarkan melalui agensi kerajaan. 

“Adakah wujud peluang pekerjaan bagi mereka yang tidak mempunyai taraf pendidikan yang tinggi? 

“Memandangkan parlimen juga masih belum dibenarkan bersidang, terpaksalah rakyat yang hilang kerja sejak penularan Covid-19 bertanya Menteri Kewangan melalui platform seperti media perdana dan secara maya,” ujarnya. 

Menurut beliau, 500,000 peluang pekerjaan bukan satu angka yang kecil dan sehingga kini masih ramai sedang bergelut mencari pekerjaan yang sesuai untuk mereka. 

“Usahkan 500,000, sekiranya Zafrul boleh mewujudkan 500 peluang pekerjaan yang jelas jenisnya dan jelas proses pencariannya sebelum tempoh darurat berakhir pada 1 Ogos untuk warga Kepong yang mencari kerja, pihak saya dengan besar hatinya akan mencari calon-calon yang sesuai untuk kerja-kerja yang ditawarkan,” ujarnya.

Malah, katanya lagi, rakyat juga mempersoalkan sama ada kenyataan menteri untuk mewujudkan 500,000 pekerjaan membawa erti atau hanya cakap kosong semata-mata. 

“Pengumuman 150,000 laptop dibuat tahun lepas untuk pelajar golongan B40 masih belum diterima, kali ini beliau masih mahu berjanji sedemikian rupa!” katanya. 



No comments: