ISMA kata BMF boleh berjaya tanpa parti Pas?

 


ISMA kata BMF boleh berjaya tanpa parti Pas?

Kempen ‘Buy Muslims First’ yang selalu dilaungkan, sebenarnya tidak perlu kepada kempen parti politik untuk dijayakan di dalam masyarakat.

Ini kerana, membina rantaian ekonomi umat Islam yang tersendiri juga boleh dimainkan oleh pertubuhan bukan politik.

Langkah ini berkait dengan struktur dan agensi-agensi yang sentiasa wujud di dalam masyarakat, walau berubah tampuk pemerintahan negara dari satu parti ke parti yang lain.

Timbalan Presiden gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni berkata, objektif pertubuhan bukan politik biasanya adalah objektif jangka jauh, kerana tidak mampu untuk diukur dalam tempoh yang pendek.

Sebahagian dari objektifnya berkait dengan pembudayaan yang sudah tentu memakan masa yang panjang untuk dilihat kesannya, katanya.

“Dengan itu penting untuk pekerja-pekerja pertubuhan bukan politik ini untuk mempunyai ketahanan jiwa dan stamina yang tinggi.

“Kesan yang akan ditinggalkan oleh pertubuhan bukan politik di dalam masyarakat adalah kesan yang mendalam jika ia dilakukan dengan senyap, tekun, sabar dan tenang.

“Perlahan tapi pasti. Dan apabila ianya tercapai, untuk pihak lain mengubahnya, mereka juga perlukan masa yang panjang dan lama,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Ustaz Fauzi berkata, Islam satu-satunya agama yang meletakkan ilmu di kedudukan yang amat tinggi sehingga sanggup belajar dari tamadun-tamadun luar, semata-mata menjadikan ilmu sebagai landasan dalam kehidupan.

Bagaimanapun agak mengecewakan, apabila melihat umat Islam hari ini seolah-olah ditolak ke arah kebodohan oleh Barat.

Barat memperkenalkan kepada umat Islam metodologi ilmu yang salah hingga akhirnya yang bergelar ilmuwan itu sendiri masih lagi tidak pandai.

Oleh itu katanya, masyarakat yang terus belajar hingga mati adalah masyarakat yang tidak akan dikalahkan oleh mana-mana kuasa luar.

“Justeru, banyak aktiviti pembelajaran tidak formal yang boleh dihidupkan oleh pertubuhan bukan politik, dan sebahagiannya tidaklah memerlukan modal kewangan yang banyak. Apa yang perlu hanyalah stamina yang tinggi dan istiqamah.

“Dan ada banyak lagi objektif sosial ekonomi di dalam masyarakat yang boleh dimainkan oleh pertubuhan bukan politik,” katanya..




No comments: